Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

PUTRAJAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pemberian projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim kepada sebuah syarikat yang didakwa sedang disiasat pihak berkuasa.

Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan Sungai Siput, Indrani Selvakumar meminta SPRM menyiasat hubungan Sanusi dengan syarikat terbabit yang didakwanya sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Beliau turut mendakwa ketika menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang petugas memaklumkan akaun pemilik syarikat serta syarikat berkenaan sudah dibekukan kerana kes itu masih dalam siasatan.

Beliau yang juga ahli PKR Sungai Siput mempersoalkan perkembangan siasatan ke atas syarikat itu selepas empat tahun memandangkan kes itu masih aktif.

“Saya gesa SPRM siasat setiap projek yang diberikan kepada syarikat tersebut selepas 2017.

“Empat tahun, apa jadi dengan status siasatan AMLATFPUAA, sama ada telah ada pendakwaan atau tiada tindakan lanjut, sebab baru-baru ini saya hubungi LHDN, fail kes itu masih aktif.

“Jadi, empat tahun takkan tiada tindakan, berapa tahun nak lanjut?” katanya kepada FMT selepas membuat laporan di SPRM Putrajaya yang disertakan 12 notis dan laporan dikeluarkan LHDN membabitkan syarikat terbabit.

Indrani berkata, jika rakyat biasa seperti dirinya boleh menyemak status syarikat itu, sudah pasti Sanusi selaku menteri besar yang mempunyai ramai pegawai boleh menyiasat latar belakang syarikat terbabit sebelum memberikan projek berkenaan.

Katanya, beliau turut membuat laporan polis semalam.

Pada 2 Ogos lalu, kerajaan Kedah menandatangani perjanjian untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim menjelang 2026 dengan pemaju itu yang akan membelanjakan RM6 bilion dalam fasa pertama projek, termasuk pengambilalihan tanah.

Sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan dengan pemaju ECK Group memegang 80% saham, manakala selebihnya dimiliki KXP AirportCity Sdn Bhd, iaitu syarikat milik kerajaan negeri.

Terdahulu, Sanusi pada 28 Feb lalu menafikan pemilihan ECK Group bagi menyertai usaha sama membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibuat atas dasar “kroni”.

Beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata, syarikat itu diyakini mempunyai dana mencukupi untuk melaksanakan projek terbabit kerana mampu membuktikan mereka memiliki dana RM1.5 bilion bagi fasa pertama dan RM5 bilion untuk fasa kedua projek berkenaan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/10/ngo-lapor-sprm-terhadap-mb-kedah-berhubung-projek-lapangan-terbang-kulim/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here