BELL Ngasri hari ini.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

MESKIPUN di awal pembabitannya dalam bidang seni adalah sebagai pelakon iklan diikuti drama, sama seperti dua adiknya Darling dan Anne Ngasri, namun tidak pernah terduga akhirnya dia menceburi satu bidang yang dianggap asing bagi para peminatnya.

Betapa tidak pada usianya lima tahun, Bell Ngasri cukup dikenali sebagai ‘budak lelaki’ comel yang muncul buat pertama kalinya dalam iklan Trojan bersama babahnya, Ngasri Sain diikuti dengan pelbagai iklan lagi.

Bukan itu sahaja, malah pada usianya tujuh tahun dan tidak begitu lancar menghafal dialog, Bell didedahkan dengan drama-drama terbitan RTM dan TV3 bermula sejak tahun 1987. Semua itu menjadi ‘track record’ sepanjang perjalanan seninya sebagai pelakon kanak-kanak yang sibuk di samping menjadi pilihan agensi pengiklanan.

Tidak siapa menduga, daripada seorang kanak-kanak yang sudah biasa di depan kamera untuk pelbagai iklan dan drama akhirnya Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali Bell Ngasri pada usia 34 tahun memilih untuk menyertai program yang menampilkan bakat berlawak di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 yang bersiaran di Astro.

BELL Ngasri bersama Allahyarham Khalid Salleh berlakon dalam filem
“Kaki Bakar.”

Walaupun ada yang menganggap itu bukan ‘fortenya’ namun sesuatu yang harus diterima, Bell anak ketiga daripada enam beradik dalam keluarga Ngasri Sain dan Habibah Jaafar ini mampu mengekalkan kedudukannya sebagai salah seorang pelawak masa kini yang cukup diminati.

Bukan itu sahaja malah dalam drama komedi, berilah apa jua watak yang pasti, Bell Ngasri yang ‘dewasa’ di lokasi mampu membuat orang ketawa dengan wajah selamba dan komedinya yang mencuit hati!

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mana mungkin seorang pelakon kanak-kanak yang pernah menjadi idola di zamannya kini mencipta nama sebagai pelawak popular yang diminati ramai.

PADA konvokesyen para graduan Media Intergrative Institute Malaysia (MIIM) pada 29 September 2001, Bell Ngasri (tengah) graduan Diploma Penyiaran turut menerima anugerah ‘Graduan Diploma Pengajian Cemerlang MIIM’

Ironinya bakat itu anugerah Allah dan Bell Ngasri yang mula mencuri hati para peminatnya pada tahun 2010 melalui sketsa komedi dalam “Salam Pantai Timur” di RTM diikuti “Edisi Khas” di TV3, kini menaiki satu demi satu tangga untuk terus kekal dan mengukir nama di puncak kejayaan sebagai pelawak.

“Saya ini seorang yang paling simple dan bukan yang terlalu memilih atau meletakkan diri di satu kelas yang tersendiri. Bagi saya setiap yang ditawarkan oleh pihak stesen TV adalah rezeki buat saya.

BERDIRI dari kiri: Naszeli (abang), Ngasri Sain, Habibah Jaafar, Darling, Nasliza (kak long) dan Bell.

“Sementara itu, dari seminggu ke seminggu ketika dalam program MLM ia telah mendewasakan saya untuk kekal sebagai pelawak yang diminati hari ini.

“Walaupun saya dapat bertahan dan diterima sebagai pelawak tetapi saya bersama ahli kumpulan tidak pernah jemu mencari idea baru dan segar untuk persembahan setiap minggu,” cerita Bell Ngasri, suami kepada penulis skrip, Farhana Fauri dan ayah kepada tiga orang anak Nasfazril, 13, Nasfarisha,12, dan Nasfazrie, enam tahun.

BELL Ngasri, Mi dan Amir yang dikenali sebagai SHAKE dalam Maharaja Lawak Mega 2016.

Menurut Bell, apabila muncul berkumpulan dalam MLM setiap pelawak sering menjadi perhatian kerana jika lawaknya janggal dan tidak boleh membuat penonton ketawa itulah saat yang amat menyeksa!

“Setiap minggu kita harus menampilkan idea yang segar dengan sketsa yang lucu kerana itu akan membantu memberi markah kepada kita. Tetapi kadangkala setelah hampir seminggu menjalani latihan dan ia masih gagal membuatkan orang ketawa, malu dan biru rasanya muka kami ketika itu.

“Dipuji apabila berjaya buat penonton ketawa adalah perkara biasa tetapi jika lawak kami tidak kelakar saya bersama teman tidak mahu memikirkannya apabila berpeluang muncul di minggu hadapan kerana ia akan membuat kami tertekan.

“Sebagai peserta kami berusaha yang terbaik kerana apabila di pentas matlamat kami hanya satu iaitu untuk membuat orang ketawa. Tetapi sebenarnya tidak mudah membuat orang ketawa berbanding menangis,” luah Bell Ngasri, graduan Diploma Penyiaran dari Media Intergrative Institute Malaysia.

SALAH satu parodi Bell Ngasri untuk satu segmen dalam “Meletop”

Menurut Bell, walaupun ada kalanya lawak beliau dan rakan sekumpulan hambar namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai MLM 2021 yang dijadualkan bermula pada akhir Oktober ini.

“Insyaa-Allah saya akan muncul dalam MLM 2021 tetapi saya tidak tahu ‘partner’ saya kerana pihak Astro yang akan tentukan. Namun setelah tiga musim menyertai MLM bermula 2012 diikuti 2014 dan 2019 bagi saya ia sudah cukup mematangkan saya meskipun kumpulan saya tidak pernah dapat ke final.

BELL Ngasri dalam satu iklan minuman susu kotak.

“Semua peserta impikan kemenangan. Siapa yang tidak mahu jadi juara tetapi bagi saya rezeki itu ketentuan Allah,” ujar Bell Ngasri yang pernah bersama dengan Amir, Rahim dan Ciwan dalam MLM.

Selain MLM, Bell Ngasri muncul dalam trilogi drama komedi “16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa” dan “Kampung Pisang Bersiri-Siri” arahan Mamat Khalid. Bell yang membawa watak Barkoba yang sentiasa tidak berpuasa dan curi-curi makan di hutan, di sungai jauh dari pandangan mata orang kampung berjaya menarik hati para peminat drama berkenaan dengan para pelakon pasangannya antaranya Aziz M. Osman, Kazar Saisi, Joey Daud dan Siti Elizad.

Disebabkan seringkali muncul dalam drama komedi ada para peminat beliau menganggap Bell tidak mahu berlakon drama selain drama komedi, apakah benar anggapan itu?

“Bagi saya setiap tawaran berlakon drama walaupun bukan genre komedi, ia adalah rezeki dan saya tidak pernah menolak tetapi jika jadual penggambarannya tidak sesuai saya akan menolak dengan baik,” kata Bell Ngasri sebagai menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Menurut Bell, walaupun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti seni seperti shooting tidak dapat diteruskan namun tetap bersyukur kerana rezeki beliau masih ada.

“Bagi saya semua ini ketentuan Allah. Sejak PKP pada Mac lalu memang tidak ada shooting tetapi rezeki itu anugerah-Nya dan saya amat bersyukur kerana boleh menyara keluarga dengan bakat yang ada.

BELL Ngasri bersama ibunya dan juga pengurusnya, Habibah Jaafar.

“Setiap minggu saya akan menghasilkan satu video parodi bersandarkan isu semasa yang viral. Video yang saya rakam sendiri di rumah untuk durasi siaran dalam seminit itu adalah salah satu segmen dalam program “Meletop” yang bersiaran di Astro Ria 104 setiap Selasa pukul 9 malam.

“Dalam sebulan saya menghasilkan empat video parodi isu semasa kemudian diserahkan kepada unit penerbitan “Meletop” untuk menyunting parodi itu. Alhamdulillah bayaran untuk video parodi itu membantu saya untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga,” jelas Bell Ngasri sambil merahsiakan pendapatan yang diperolehinya.

Apabila ditanya apakah beliau tidak mahu mengikut jejak Darling dan Anne yang mempunyai syarikat penerbitan sendiri dan perniagaan lain, dengan tenang namun penuh yakin Bell yang pernah berlakon dalam filem arahan U-Wei Haji Saari “Kaki Bakar” berpasangan dengan Allahyarham Khalid Salleh pada tahun 1995, berkata;

SATU babak dari drama “Kampung Pisang Bersiri-Siri” (duduk dari kiri) Mat London, Bell Ngasri, Aziz M. Osman dan Kazar Saisi.

“Saya tidak mencari kekayaan dengan seni. Saya menceburi bidang seni bukan untuk buat harta tetapi untuk menghiburkan masyarakat Malaysia. Saya rasa bahagia apabila penonton ketawa melihat lakonan dan lawak saya apalagi dalam keadaan dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Sememangnya kita perlukan duit untuk kelangsungan hidup ini tetapi pada waktu yang sama dalam kesempitan hidup sebilangan masyarakat hari ini, selain mendekatkan diri dengan-Nya program lawak dapat memberi ketenangan untuk meneruskan hidup mereka.

“Saya rasa cukup selesa hidup begini. Saya tidak rasa tertekan meskipun tidak punya bisnes tetapi saya masih punya ruang untuk bekerja dan menyara keluarga. Pada waktu yang sama saya mendoakan Darling dan Anne berjaya dengan syarikat penerbitan mereka.”

KELUARGA Bell (duduk dari kanan) Nasfarisha, Nasfazrie, Farhana Fauri, Bell Ngasri dan Nasfazril.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here