ARENA sukan Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir sukan dalam era 80-an hingga 2000 dengan kembalinya Allahyarham Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan ke rahmatullah pada usia 79 tahun, pagi ini.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia ini, turut pernah dilantik menjadi Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM) negara pada Sukan SEA Bangkok 1985.

Selain itu, beliau pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dari 1989 hingga 1998 dan bergelar Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1990 hingga awal 2000-an.

“Bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), saya ingin mengucapkan takziah dan rasa dukacita kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Zaman.

“Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada sukan negara dan jasa beliau akan senantiasa dikenang. Al-Fatihah,” kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kepada BebasNews.

Turut mengutuskan salam takziah ialah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb): “Takziah kepada keluarga bekas Presiden KRM, Allahyarham Tan Sri Zaman yg telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” lapor laman Twitter rasmi Yakeb.

Kontinjen pimpinan Zaman menduduki tempat keempat dalam senarai pungutan pingat Sukan SEA Bangkok 1985 dengan meraih 26 pingat emas, 28 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

ZAMAN Khan Rahim Khan (kiri) ketika menghadiri perlawanan Malaysia dan Hong Kong dalam Kejohanan Ragbi Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Foto FB Azley Kassim

Tujuh emas daripadanya merupakan sumbangan ratu renang, Nurul Huda Abdullah manakala lapan oleh atlet-atlet olahraga selain satu daripada beregu bersaudara badminton, Datuk Razif dan Datuk Seri Jalani Sidek.

“Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni segala dosa roh Allahyarham dan memuliakan kematiannya dengan menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal yang abadi. Amin,” lapor laman Facebook rasmi FAM.

Media tempatan melaporkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Zaman dilahirkan pada 21 Disember 1941 di Pasir Mas, Kelantan.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang ini.

-BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here