Foto Majalah Pa&Ma
Oleh Muhammad Taftazany Abd Rahman dan Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

PANDEMIK Covid-19 yang menyerang negara telah meninggalkan parut yang mendalam kepada pelbagai pihak. Selain daripada menjejaskan sektor ekonomi negara, ia turut menyebabkan ramai kalangan anak-anak kecil yang hilang tempat bergantung dan menumpang kasih sayang.

Sehingga kini, lebih dari 1,517 orang anak-anak kecil yang kehilangan tempat pautan kasih sayang mereka dengan sekelip mata menjadi anak yatim dan yatim piatu akibat kematian salah seorang daripada ibu bapa atau kedua-duanya.

Senario ini sangat menyentuh jiwa kerana mereka terpaksa mengharungi ujian kehilangan insan yang menjadi pelindung di peringkat awal usia lagi. Ia akan memberikan kesan jangka panjang sekiranya tidak diberikan perhatian yang serius oleh pihak yang bertanggungjawab ke atas mereka.

Oleh hal yang demikian, sebagai sebuah keluarga Malaysia secara kolektif, kita tidak boleh menutup sebelah mata dan mengabaikan nasib anak-anak yatim yang berada di sekeliling.

Bagi mereka yang bertanggungjawab secara langsung kepada anak-anak yatim ini, mereka tidak boleh bersikap acuh tak acuh bagaikan melepaskan batuk di tangga dalam urusan kebajikan dan hak anak-anak yatim. Dalam Islam, hak-hak anak yatim perlu dijaga dan dipelihara dengan baik. Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dalam hal ini.

Hal ini demikian kerana, Allah SWT telah memberikan penekanan yang serius pada banyak ayat al-Quran yang memperihalkan kedudukan anak yatim seperti melalui Surah al-Ma’un ayat 1-2: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim”.

Berdasarkan ayat tersebut, orang yang melakukan kezaliman dan mengabaikan anak yatim termasuk dalam golongan yang mendustakan agama. Betapa mulianya kedudukan anak yatim dalam Islam.

Dalam ayat yang lain, Allah menekankan tentang keperluan untuk menjaga hak-hak anak yatim sepertimana dalam surah al-Baqarah ayat 220: “Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah, “Memperbaiki keadaan mereka adalah baik!”.

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari dalam kitab Jami’ al-Bayan menjelaskan bahawa memperbaiki keadaan mereka iaitu anak-anak yatim adalah dengan menyantuni pelbagai aspek seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pengurusan harta pusaka dan juga kebajikan serta kasih sayang.

Di samping itu, Islam turut memberikan ganjaran yang sangat besar kepada penjaga anak-anak yatim. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga”. (Riwayat Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan hubungan yang rapat di antara Rasulullah SAW dengan penjaga anak-anak yatim di syurga kelak. Lantaran itu, secara asalnya individu yang bertanggungjawab untuk mengambil alih penjagaan ke atas anak-anak yatim ialah individu yang mempunyai hubungan pertalian darah.

Secara lebih jelas, dalam hukum fikah, hak jagaan (hadhanah) anak-anak melibatkan kedua ibu bapa mengikut turutan adalah sebagaimana berikut:

1. Ibu
2. Nenek (ibu kepada ibu) dan ke atas
3. Bapa
4. Nenek (Ibu kepada bapa)
5. Datuk (Bapa kepada bapa)
6. Adik beradik perempuan seibu sebapa
7. Adik beradik lelaki seibu sebapa

Dan terdapat sejumlah lagi pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak yatim sekiranya berdasarkan pertalian darah sama ada dalam kalangan lelaki atau wanita. Di samping itu, di sebalik mereka yang bertanggungjawab tersebut, sebagai keluarga Malaysia, secara kolektifnya tiap ahli masyarakat bertanggungjawab kepada anak-anak yatim.

Malahan negara juga perlu memerhatikan kebajikan anak-anak yatim ini jika kaum kerabatnya sudah tiada untuk menjaga hak-hak anak yatim tersebut. Anak yatim tersebut perlu dipelihara oleh institusi jagaan anak-anak yatim seperti rumah-rumah anak yatim yang terdapat di negara kita kerana anak-anak yatim tersebut masih tidak mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri dari segenap aspek kehidupan.

Jelasnya, sekira masyarakat benar-benar berpegang dengan hukum Islam sebagai panduan hidup, tidak akan ada anak-anak yatim yang terabai dan tercicir hak dan kebajikannya. Malah tidak akan berlaku penderaan fizikal dan emosi terhadap mereka.

Begitu juga dalam aspek pengurusan terhadap harta anak-anak yatim perlu diteliti dengan baik kerana ketirisan integriti padanya akan mengundang ancaman dan kemurkaan Allah SWT. Ini kerana walaupun mereka masih kanak-kanak, mereka tetap berhak ke atas harta pusaka yang diwariskan daripada ibu dan bapa yang meninggal dunia.

Hal ini demikian kerana, Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa ayat 10: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”

Ayat tersebut menggambarkan kepada kita bahawa orang yang memakan harta anak yatim secara batil merupakan manusia yang zalim kerana menindas golongan yang lemah dan tidak mempunyai kudrat untuk membela diri mereka.

Selain daripada itu, ayat ini juga menerangkan kepada kita akan keharusan untuk mengambil harta anak yatim untuk menguruskan kebajikannya, namun bukan secara batil bahkan tidak menzalimi anak yatim tersebut. Justeru, antara kaedah penjagaan terhadap harta anak yatim tersebut ialah dengan berjimat-cermat dalam berbelanja dan tidak boros di samping membelanjakan harta tersebut untuk kemaslahatan anak yatim itu sendiri.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT melalui surah al-Nisa’ ayat 6: “Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa.

Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.”

Selain itu, para penjaga anak yatim juga digalakkan untuk mengembangkan harta anak yatim tersebut dengan perniagaan yang menguntungkan hasilnya. Rasulullah ﷺ bersabda: “Berdaganglah pada harta anak yatim agar ia tidak dimakan oleh zakat”. Hadis ini menunjukkan diharuskan pengembangan harta anak-anak yatim.

Lantaran itu, dalam menjamin penjagaan ke atas harta mereka, digalakkan kepada penjaga untuk mengembangkan harta tersebut sebelum diserahkan kepada mereka setelah mencapai usia yang selayaknya nanti sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-An’aam ayat 152: “Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya”.

Tegasnya, anak-anak yatim seperti anak-anak yang lain. Mereka perlu diberikan perhatian khususnya melibatkan hak-hak mereka dari aspek keperluan asas seperti makanan, pakaian dan kediaman di samping kebajikan lain seperti hak mendapat pendidikan, perlindungan dan kasih sayang.

Bahkan dalam hak yang melibatkan kehartaan khususnya harta pusaka, hak ini perlu dijaga dengan baik, tidak boleh dialihnama, dinafikan hak warisan atau disalahgunakan harta mereka oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ternyata sekali, Islam sangat mengambil berat tentang anak-anak yatim dalam masyarakat. Justeru, dalam mengharungi pandemik ini, setiap pihak sama ada penjaga yang mempunyai pertalian darah atau tanpa pertalian darah dengan anak-anak yatim perlu memainkan peranan dalam menyantuni mereka bagi membina keluarga Malaysia yang bahagia dan sejahtera agar tidak ada kelompok yang terjejas hak dan kebajikan mereka.

*Muhammad Taftazany Abd Rahman & Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here