Oleh Dr. Ridzwan Ahmad dan Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman

TUDUHAN dan tohmahan Islam sebagai agama keganasan dan anti perdamaian yang bertali arus ketika ini bukan suatu yang baharu. Pelbagai agenda dan persepsi negatif cuba didendangkan dan dihamburkan terhadap Islam sehingga berjaya mewujudkan Islamofobia di beberapa buah negara di Eropah.

Manakala negara umat Islam pula dituduh membelakangkan hak asasi manusia dan bersikap keras terhadap golongan bukan Islam. Mutakhir ini persoalan ini semakin mendapat perhatian yang gitu di Malaysia apabila ada tuduhan bahawa Malaysia sedang menuju kepada penubuhan negara Islam (Islamic State) yang bakal menghapuskan hak agama lain.

Keamanan melalui pemeliharaan lima asas utama

Dalam Islam keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyatnya adalah terjamin. Ia diperuntukkan melalui kaedah khusus yang dikenali sebagai al-kulliyyat al-khams (kepentingan lima perkara asas) yang melibatkan pemeliharaan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta (al-Mustasfa: 1/287).

Pemeliharaan terhadap kelima-lima perkara yang asas ini juga telah diterima oleh semua agama di dunia. Ia membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan dan menolak sebarang keganasan dan kezaliman terhadap manusia.

Melalui pemeliharaan terhadap lima perkara penting ini maka lahirlah negara yang aman dan sentosa. Manakala pelaksanaan terhadap kelima-lima perkara asas tersebut pula mengguna pakai mekanisme keadilan sejagat.

Hal ini kerana syariat Islam disifatkan sebagai syariat keadilan. Sebarang tindakan yang terkeluar daripada keadilan sehingga menghasilkan kezaliman tidak dianggap ajaran Islam walaupun disandarkan dengan pelbagai takwilan (A`lam al-Muwaqqi`in: 3/14-15).

Kebebasan agama bukti Islam agama kedamaian

Islam telah meletakkan kebebasan beragama terhadap manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan [al-Baqarah: 256].

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud: Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (kafir) mendapat petunjuk, akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, (al-Baqarah: 272 ).

Apabila kebebasan agama telah terjamin dalam Islam, maka doktrin keganasan untuk memaksa manusia menganut Islam atau membunuh umat bukan Islam sewenang-wenangnya tanpa sebarang alasan yang dibenarkan terkeluar daripada ajaran Islam sebenar.

Di Malaysia kebebasan beramal dengan agama selain Islam dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan per 11 dengan dibatasi syarat tertentu iaitu tidak boleh menggugat ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Sebenarnya jaminan kebebasan agama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan bukti bertulis bahawa Malaysia yang diterajui oleh kepimpinan Islam merupakan negara yang mengutamakan keadilan terhadap hak kebebasan agama sekali gus menolak keganasan dan penindasan kaum dan agama.

Bukti sejarah

Di Malaysia sejarah telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam tidak pernah ditindas walaupun Islam dijadikan sebagai agama persekutuan. Bahkan golongan bukan Islam di Malaysia diberi ruang kehidupan yang amat luas dalam pelbagai lapangan kehidupan, kebebasan beramal dengan budaya dan agama masing-masing, sama-sama hidup dengan penuh aman damai dan harmoni.

Begitu juga sejarah dunia tidak mencatatkan mana-mana penindasan berlaku ke atas golongan bukan Islam oleh pemerintah Islam atas nama agama Islam. Bahkan Islam amat keras memerangi penindasan terhadap manusia sehingga menolak sebarang peperangan kecuali demi mempertahankan diri dan negara.

Barangkali ramai yang belum mengetahui bahawa Islam merupakan agama yang paling awal mengharamkan peperangan dengan meletakkan syarat yang amat ketat terhadap keharusan peperangan (Maqasid al-Shari`ah: 231).

Sejarah juga merakamkan bahawa sejak kemunculan Islam sahaja, golongan Yahudi dan Kristian diberi keadilan yang saksama sedangkan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana golongan sebelum itu. Ironinya sejarah juga telah merakamkan bahawa umat Islam tidak pula menikmati keistimewaan sebagaimana dinikmati oleh golongan Yahudi dan Kristian dalam pentadbiran negara Islam (Tatbiq al-Shari`ah al-Islamiyyah: 29).

Hal ini diperakui sendiri oleh sebahagian orientalis Barat. T.W. Arnold misalnya menolak hipotesis yang menyatakan pedang digunakan untuk mengubah manusia kepada Islam. Ini kerana di awal pemerintahan Islam lagi golongan Kristian telah diberi toleransi yang berpanjangan daripada pemerintah umat Islam (The Preaching of Islam: 59).

Persepsi buruk terhadap negara Islam

Sesungguhnya gambaran dan persepsi yang buruk terhadap agama Islam sehingga dituduh sebagai agama yang menaja keganasan ialah hasil daripada usaha tohmahan besar-besaran oleh musuh-musuh Islam di pelosok dunia. Dunia ketika ini sedang menyaksikan penindasan berlaku terhadap umat Islam di pelbagai negara khususnya di Timur Tengah.

Peperangan dicipta oleh saudagar senjata antarabangsa di negara umat Islam untuk melariskan perdagangan senjata. Saudagar senjata meraih keuntungan berbilion-bilion dolar sedangkan umat Islam menanggung kesengsaraan dan penghinaan berpanjangan.

Hakikatnya penindasan dirancang agar umat Islam bertindak balas membela diri dan maruah agama. Apabila pembelaan dilakukan maka mereka akan dilabelkan sebagai pengganas sejati. Ia ditambah pula sikap melampau dan penyelewengan oleh sesetengah kumpulan minoriti dalam Islam yang asalnya memang telah pun ditaja oleh pihak tertentu untuk menghuru-harakan negara Islam.

Hakikatnya Malaysia ialah contoh negara majmuk yang sentiasa memelihara hubungan kaum dan agama walaupun tidak dapat lari sepenuhnya daripada perselisihan perkauman. Keamanan dan kesejahteraan negara ini bergantung sepenuhnya kepada sikap toleransi pelbagai kaum dan agama yang mendiami negara ini sejak sekian lama.

Sikap toleransi ini pada hakikatnya berasal daripada ajaran Islam sendiri yang menjadi pedoman para pemimpin terdahulu sehingga kini. Lantaran itu, adalah tidak benar apabila Islam agama yang cinta kepada keamanan dimomokkan sebagai agama yang bersikap keras dan menolak toleransi dalam kehidupan negara.

Ingatlah nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi ketika ini tidak akan mampu bertahan lama jika ada pihak yang sanggup menjual negaranya demi kepentingan sempit golongan tertentu.

Senjata utama untuk memporak-perandakan Malaysia adalah dengan hanya menyerang Islam dan umatnya. Jika ia berlaku akhirnya yang untung besar ialah pihak luar bukan rakyat Malaysia yang sekian lama hidup secara harmoni di negara yang tercinta ini. Wa Allah a`lam.


*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul & Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here