Oleh Wartawan BebasNews

KETUM HALAL… Pihak berkuasa Thailand yang ”menghalalkan’ penggunaan daun ketum dan bi-produknya baru-baru ini menganggarkan dapat menjimatkan kira-kira RM200 juta membabitkan kos pendakwaan.

Institut Pembangunan Penyelidikan Thailand membuat anggaran itu melalui satu kajian ekoran penarikan balik pengharaman tanaman itu di negara tersebut.

Dengan penukaran undang-undang itu bermakna di Thailand “orang awam sudah boleh mengguna dan menjual ketum secara sah” kata jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berikutan itu seramai 1,000 pesalah membabitkan ketum juga sudah dibebaskan.

Di Malaysia penggunaan ketum dan penjualannya masih diharamkan, sedangkan banyak kawasan di Utara Semenanjung yang menanam tanaman itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dipetik sebagai berkata, penyalahgunaan ketum masih lagi dikuatkuasakan di bawah Akta Racun di negara ini.

“Di negara kita, ketum masih lagi menjadi kesalahan, cuma, tanam tak salah, tapi jika dibawa ia menjadi satu kesalahan yang boleh disaman atau dituduh ke mahkamah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Banyak pihak di negara ini sudah melobi bagi membolehkan tanaman itu, yang sudah sekian lama digunakan oleh para petani, dibenarkan digunakan dan dijual.

Di Thailand kini sudah terdapat mesin-mesin vending yang menjual kopi ketum.

Ketum atau Kratom, dengan nama saintifik Mitragyna speciosa — ialah keluarga pokok kopi, yang digunakan sejak berkurun di Asia Tenggara dan Papua New Guinea sebagai pengubat kesakitan dengan kesan stimulasi yang rendah.

Ia juga semakin popular di Amerika Syarikat sehinggakan
Pentadbiran Ubat dan Makanan (FDA) memberi amaran penggunaannya boleh membawa risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Menurut laporan Berita Harian 25 Nov 2019, penanaman ketum dibenarkan ditanam di Malaysia bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan, namun tertakluk kepada terma dan syarat serta surat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat.

Berdasarkan RUU yang butirannya diberikan Kementerian Kesihatan, Menteri Kesihatan diperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun menanam tumbuhan terbabit.

Ini bermakna, orang awam tidak lagi dibenarkan menanam tumbuhan psikoaktif itu dan boleh didenda maksimum RM200,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika RUU terbabit diluluskan kelak.

Jika diluluskan, nama Akta 366 selepas pindaan adalah Akta Racun dan Tumbuhan Psikoaktif 1952.

Pindaan itu antaranya bagi mewujudkan kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif terbabit merangkumi penanaman, pengimportan, pengeksportan, penyebatian, pencampuran, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaan tumbuhan berkenaan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here