Image by Pixabay
Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disyorkan agar cuba sebaik-baiknya dielak budaya Barat walaupun mungkin sekadar ikutan tanpa ada niat mengamalkan agama penganut lain.

Demikian pandangan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Abdul Halim Abdul Kadir ketika mengulas isu budaya melamar gadis secara terbuka di khalayak ramai.

“Memang tidak salah pun tiru kerana tiada kait dengan soal akidah yang boleh jatuh murtad, namun sebaik-baiknya lebih elok dielak sebab bimbang jadi fitnah,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui akaun sosial rasminya menasihatkan masyarakat Islam supaya menjauhi perbuatan melamar wanita terbuka di depan orang ramai.

Melalui jawapan Irsyad Al-Fatwa siri ke-550, ia memaklumkan bahawa amalan itu bukan pun budaya Islam demi menjaga maruah individu apatah lagi hak itu perlu diputuskan tanpa didesak.

Ini termasuk tindakan si lelaki melutut sebelah kaki sewaktu melamar itu menyerupai amalan ‘genuflexion’ dalam agama Kristian ketika ritual lazim ibadah di gereja sejak zaman dahulu lagi.

Sebaliknya agensi itu berkata, Islam mengajar peminangan melalui wali dan tanpa keluarga si wanita yang dilamar berasa tertekan bagi menerima seperti disarankan ramai ulama ternama.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, amalan ‘meniru’ budaya Barat dalam kalangan remaja Islam ketika ini mungkin lebih kepada ‘suka-suka’ dengan tiada niat mengikut agama tertentu.

“Misalnya, pemakaian topi berbentuk kon tirus ketika majlis ulang tahun kelahiran, ia asalnya dipakai oleh golongan Muslim di Andalusia yang dipaksa murtad pada abad ke-12,” katanya.

Tujuannya ujar beliau, ketika itu untuk membezakan dengan penganut Kristian sebenar tetapi lama-kelamaan dipakai secara berseronok bagi sambutan hari lahir tanpa dirujuk sejarahnya.

Begitu juga jelasnya, pemakaian topi hitam jenis mortar board ketika acara konvokesyen yang asalnya merupakan tradisi Arab disebut qalansuwah untuk mengikat al-Quran di atas kepala.

Ironi katanya, budaya tanda penghormatan tertinggi ke atas ilmu kalamullah itu kemudian diubah Barat dengan melontar topi ke langit setelah menerima ijazah dan bergelar graduan.

“Kalau niat baling itu sekadar bergembira tamat pengajian, itu boleh dimaafkan, tetapi jika niat mahu hina al-Quran, semoga dia insaf dan bertaubat sebelum terlambat,” jelas Abdul Halim.

Bagaimanapun, beliau mengambil pendirian bersangka baik dengan sikap segelintir umat Islam suka mencedok budaya Barat kerana mungkin kejahilan ilmu atau malas membaca sejarah.

Namun ujarnya, adalah lebih baik elak sesuatu perbuatan tidak pasti atau ragu-ragu dengan mendapatkan pandangan agamawan atau pejabat mufti yang lebih diyakini dari segi autoriti.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here