Abdul Halim Abdul Kadir

SHAH ALAM – Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menyambut baik langkah yang diambil oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, untuk menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau termasuk soal bilangan dan kehadiran Jemaah.

Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini berdasarkan kepada permintaan yang dikeluarkan pihak kementerian kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu selaras dengan perkembangan semasa peralihan fasa yang diumumkan pihak kerajaan berasaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semakan semula ini amatlah wajar kerana terdapat beberapa isu yang berlaku di mana rakyat amat merindui kesempatan untuk hadir solat di masjid dan surau yang ada,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian yang tular pada hari Jumaat kelmarin menunjukkan betapa ada rakyat yang sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid.

Katanya lagi, PUM sedar bahawa peraturan sedia ada perlu dihormati oleh semua pihak termasuklah had jumlah bilangan tertentu sahaja dibenarkan ke masjid, jemaah perlu melalui proses pendaftaran dan sebagainya, kerana peraturan tersebut telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan Raja-Raja Melayu yang mengetuai urusan hal ehwal agama negeri-negeri.

Jelasnya lagi, oleh kerana urusan agama adalah tertakluk kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, maka rakyat mestilah memahami keadaan ini di mana baginda begitu prihatin soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Pekenan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah diperlukan dalam sebarang perubahan SOP berkaitan agama.

“PUM ingin menasihatkan jemaah yang tidak mendapat panggilan untuk solat di masjid atau tidak dibenarkan masuk kerana had bilangan yang ditetapkan telah mencukupi, sewajarnya melakukan solat di tempat masing-masing. Mereka yang tidak dapat solat Jumaat itu tidaklah dianggap berdosa di atas tindakan tersebut kerana kewajipan pihak berkuasa untuk mencegah penularan covid-19 adalah lebih utama,”katanya.

Ujarnya lagi, tindakan pengawalan ini termasuk di dalam Maqasid Syariah, iaitu Hifz al-Nafs atau menjaga nyawa.

Walaubagaimana pun jelasnya lagi, cadangan daripada Menteri Agama untuk berbincang bersama Sahibus Samahah Mufti-Mufti amatlah tepat sekali bagi mencapai kata sepakat yang boleh dipersembahkan kepada Sultan negeri-negeri selaku Ketua Agama bagi negeri masing-masing.

“Inisiatif untuk berbincang dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sesuatu yang perlu dilakukan segera bagi mendapatkan persetujuan SOP baharu masjid dan surau, sebelum ia dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bagi mendapat perkenan baginda semua.

“Apa yang menarik perhatian kami adalah kesediaan pihak kerajaan untuk mencadangkan agar surau-surau di beberapa lokasi seperti di pejabat atau di taman-taman perumahan dapat diberikan kelulusan sementara bagi melakukan solat Jumaat berdasarkan SOP yang ditetapkan. Ini pasti akan memberi ruang yang lebih kepada rakyat untuk melaksanakan kewajipan Solat Jumaat dalam suasanya pandemik ini,”katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here