kid, praying, muslim
Photo by chidioc on Pixabay
Oleh Dr Wan Rohani Wan Mokhtar

SEMUA orang mungkin pernah mendengar ungkapan popular “Jangan menilai buku pada kulitnya”. Ungkapan ini bertujuan mengingatkan supaya tidak cepat menilai sesuatu sebelum melihat dan menelitinya seperti mana menilai kulit buku yang dilihat pada pandangan luar sebelum membuka dan membaca isi di dalamnya. Kata-kata ini juga biasa digunakan untuk menggalakkan mengkaji dan melihat hakikat sebenar perkara yang hendak dihukum bukan hanya melihat apa yang ada pada zahirnya sahaja.

Menang benar, kadang-kadang kita tidak ada niat untuk cepat menghukum apa yang dilihat tetapi sering kali otak manusia terlalu pantas untuk membuat penilaian kerana tidak dapat dinafikan bahawa penampilan luar adalah perkara pertama yang dilihat.

Jadi, sebelum menilai sesuatu dan melabelkannya sebagai baik atau buruk cuba berfikir sejenak dan tidak terikut-ikut mekanisma otak yang dipercayai cepat menilai. Menilai atau menghukum sesuatu tanpa asas membawa implikasi yang sangat buruk jika melibatkan individu lain lebih-lebih lagi jika penilaian itu mengaibkannya dan dibuat di hadapan khalayak atau di media sosial. Selain itu, ketika menghukum sesuatu seolah-olah penghukum membongkarkan sikap peribadi, pemikiran serta pendiriannya terhadap perkara tersebut.

Tuntasnya, kita tidak semestinya mempercayai tanggapan pertama yang terlintas dalam minda apabila melihat sesuatu perkara. Bahkan cuba melihat dan memikir kebarangkalian di sebalik apa yang berlaku sebelum menghukum dan membuat penilaian. Tidak perlu cepat menghukum dengan hanya berdasarkan satu sudut pandangan yang berat sebelah .Oleh itu, jika ingin menilai atau menghukum sesuatu perlulah meneliti kebenarannya terlebih dahulu

Antara contoh tanggapan pertama yang selalu berlaku dalam minda manusia seperti apabila melihat wajah yang masam terus menghukum orang itu sombong, apabila melihat pakaian yang buruk terus menilai bahawa orang itu semestinya miskin. Begitulah bila melihat kelakuan pelik atau yang tidak dilakukan oleh orang lain seperti gambar sekumpulan lelaki sedang solat dalam air yang digempargempurkan dalam media sosial baru-baru ini, Ada pihak terus membuat tanggapan negatif tanpa soal dan usul periksa, bahkan terus menghukum bahawa tindakan seperti itu seolah-olah tidak wajar dan tidak patut dilakukan. Begitulah apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak sama ada berkaitan isu agama, sosial mahupun politik, tanpa usul periksa penghukuman terus dilakukan.

Soalannya, adakah kaedah menghukum berdasarkan apa yang dilihat secara zahir ini tidak boleh dilakukan untuk semua perkara ? Jawapannya tidak. Sebenarnya Islam membenarkan penghukuman dan penilaian. Sebagai contoh, bila melihat seseorang melakukan perkara mungkar seperti tidak menutup aurat lantas kita terus menghukum kurangnya kefahaman agama pada individu tersebut, mendengar percakapan kesat melambangkan kurang didikan dan sebagainya.

Menghukum pada perkara seperti ini tidak menjadi kesalahan tetapi apa yang dilarang ialah menghukum serta mengecam sehingga memalukan individu tersebut lebih-lebih lagi apabila dibuat di hadapan orang ramai atau melalui media sosial. Islam menggalakkan penganutnya menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang lain dengan cara hikmah untuk tujuan memperbaiki kesilapan bukan untuk mengaibkan, menghina serta memalukannya.

Adapun untuk menilai perkara-perkara lain seperti yang melibatkan tindakan, kenyataan atau keputusan terhadap perkara tertentu yang dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada maklumat itu diterima melalui media sosial atau cerita yang digembargemburkan adalah baiknya dikaji, diselidiki dan dapatkan sumbernya yang sahih terlebih dahulu sebelum hendak menghukum

Menghukum sesuatu dengan menggunakan kata-kata kesat dan mengaibkan adalah satu tabiat yang negatif dan melambangkan keperibadian individu tersebut yang menghukum. Sesunggunya akhlak yang mulia merupakan aset penting bagi setiap individu sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanpa akhlak yang mulia manusia dipandang rendah dan hina kerana manusia secara fitrahnya suka pada orang yang baik sikapnya, elok penampilannya serta sopan tutur katanya.

Oleh itu, sebelum menilai atau menghukum sesuatu, alangkah baiknya kembali melihat diri dan menghukum diri sendiri. Mudah-mudahan dengan cara selalu menilai diri sendiri boleh memperbaiki diri dan mempertingkatkan kebaikan diri. Ini kerana sifat manusia mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada peringatan dan pembaikian. Jika kelemahan dan kekurangan ini dibiarkan sudah tentu ia akan menyukarkan lagi untuk diperbaiki. Begitulah jika ia berterusan dalam diri dikhuatiri individu tersebut terus melakukan kelemahan serta kekurangan itu dan lebih parah lagi bila lebih cenderung pula menilai kelemahan dan keaiban orang lain.

Jadi, lihatlah pada diri sendiri dan perbaiki diri sendiri luar dan dalamnya sehingga bila dilihat daripada luar sudah melambangkan apa yang terkandung pada bahagian dalamnya. Walaupun kata-kata “ Jangan menilai buku pada kulitnya” menunjukkan perlu lihat di bahagian dalamnya dahulu sebelum memutuskan kecantikannya, tetapi alangkah indahnya kalau kulit buku itu sudah kelihatan cantik pada pandangan pertama dan apabila dilihat isi kandungannya ia lagi cantik daripada apa yang terpapar pada kulitnya.

Penulis merupakan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here