online, meeting, virtual
Photo by Tumisu on Pixabay
Oleh Razinda Tasnim Abdul Rahim

DUNIA sedia maklum bahawa serangan wabak Covid 19 mengakibatkan pelbagai perspektif perubahan. Ianya termasuklah ekonomi, sosial, persekitaran, teknologi dan sebagainya. Implikasi baik juga buruk menyebarkan beberapa pengajaran serta hikmah buat masyarakat sejagat.

Acapkali didengar dan terpapar dalam penulisan, ramai yang membahas adalah kesan buruk Covid 19 seperti terjejas pendapatan, kehilangan pekerjaan, masalah mental, kawalan pergerakan oleh pemerintah, penutupan firma, perkilangan dan institusi pendidikan. Walhal, masih terdapat beberapa kebaikan dan kelangsungan aktiviti seperti perniagaan antarabangsa dan globalisasi sewaktu pandemik Covid 19 yang tidak disedari.

Antara hikmah yang diperoleh adalah keupayaan teknologi yang mampu menyelesaikan beberapa halangan pertemuan manusia dalam mahupun luar negara, halangan melakukan rutin harian secara bersemuka, halangan mendapatkan barangan keperluan mahupun kehendak serta sebagainya.

Teknologi juga membantu ekonomi negara dan dunia yang menjunam akibat pandemik ini. Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2020 mendapati, penggunaan internet dalam kalangan rakyat berusia 15 tahun ke atas meningkat kepada 89.6 peratus tahun lalu berbanding 84.2 peratus pada tahun 2019, peningkatan sebanyak 5.4 peratus.

Dalam pada itu, penggunaan internet dengan bantuan alatan gadget sebagai penghubung mempengaruhi perubahan budaya. Masyarakat semakin berkemahiran dalam berkomunikasi menggunakan bahan teknologi. Perjumpaan atau mesyuarat masih diteruskan melalui pelbagai aplikasi seperti Zoom Meeting, Google Meet, Cisco Webex malah WhatsApp Video Call dan Instragram Video Call juga digunakan.

Sedarkah anda bahawa syarikat-syarikat ini juga merupakan syarikat antarabangsa yang memberikan perkhidmatan secara maya kepada masyarkat? Selain itu, pembudayaan ini bukan sahaja melibatkan masyarakat tempatan malah masyarakat global. Sebagai contoh, kita dapat lihat fesyen pakaian dan makanan antarabangsa yang viral di medium elektronik telah menjadi ikutan masyarakat. Maka sudah terang lagi bersuluh, teknologi membuktikan bahawa pembudayaan silang budaya masih berlaku semasa pandemik Covid 19.

Di samping itu, perniagaan antarabangsa masih beroperasi untuk memenuhi kehendak dan keperluan manusia serata dunia. Pada awal penularan wabak ini, Malaysia mengalami kekurangan pelitup muka sehingga terpaksa mengehadkan pemakaian pelitup muka kepada barisan hadapan dan mereka yang mempunyai gejala sahaja.

Isu ini telah pun di hebahkan sehinggakan Malaysia telah pun mengimport pelitup muka dari pasaran luar negara. Tambahan pula, pemesanan barang secara atas talian ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Para peniaga dan usahawan tidak melepaskan peluang untuk memasukkan produk mereka secara atas talian bagi memudahkan pelanggan mendapatkannya.

Lebih-lebih lagi barangan yang dipesan dari luar negara mampu untuk tiba kepada pelanggan hanya dengan sekejap sahaja. Medium atas talian ini turut merupakan pintu kedua bagi syarikat antarabangsa yang mana membantu untuk menemui pelanggan dari segenap pelusuk dunia dengan cara terpantas.

Maka tidak hairanlah jika pandemik ini berlarutan sehingga menjadi endemik kerana globalisasi itu hanya di hujung jari. Benarlah dunia tanpa sempadan. Jadi percaya atau tidak, anda tetap terglobalisasi sewaktu pandemik ini.Buktinya berita dunia juga dapat kita diketahui dan ikuti. Sewaktu perintah kawalan pergerakan dikenakan, seluruh masyarakat Islam dunia menyebarkan kesedaran solidariti buat rakyat Palestin. Tepuk dada tanyalah selera, jika masih belum sedar, bangunlah sebelum kita dihapus ombak globalisasi dunia.

*Penulis merupakan Pensyarah Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Kolej Universiti Islam Perlis.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here