Woman in pink headscarf stands in front of silver imac
Photo by mentatdgt on Pexels
Oleh Dr Ahmad Faisal bin Abdul Hamid

SELAIN pujian dan kemuliaan yang digambarkan oleh Allah SWT mengenai manusia dalam al-Quran, tidak kurang juga celaan dan kenyataan yang memperlihatkan realiti sebenar tentang sikap manusia. Banyak cerita manusia membina peradaban dalam kitab-kitab agama termasuk al-Quran, tidak kurang juga didedahkan kebejatan manusia dalam merosakkan peradaban, alam sekitar dan kemusnahan manusia sendiri. Benarlah kenyataan Allah SWT bahawa manusia ialah makhluk yang unik dan pelik.

Sifat penggunaan merupakan antara elemen kerakusan manusia. Manusia merupakan makhluk yang paling banyak menggunakan sumber alam walaupun secara relatif fizikalnya lemah dan kecil. Manusia banyak menggunakan sumber alam untuk makan, minum, tenaga, perjalanan, hiburan malah pengurusan kematian.

Sifat kepenggunaan manusia yang rakus menjadi lebih parah apabila digandingkan dengan sifat jemu dan haloba. Manusia juga menukar selera dalam kehidupan mereka berbanding makhluk Allah SWT yang lain.

Kepenggunaan manusia tidak tertakluk kepada perkara-perkara material sahaja, malah menjangkaui perkara yang bersifat abstrak seperti idea pemikiran, model kehidupan, nilai dan budaya. Manusia juga mudah jemu dan berubah selera tentang soal makanan dan juga pemikiran nilai.

Manusia menyukai makanan segar dan baharu, begitu juga pada pakaian dan semua yang berkaitan dengan kehidupan mereka termasuklah idea-idea dan juga doktrin agama. Untuk memenuhi keperluan itulah Allah SWT telah mengutus para nabi yang berlainan untuk kaum atau zaman yang berbeza. Begitu juga dalam konteks agama Islam, setelah berlalunya 100 tahun dalam kiraan kalendar Islam akan diutus seorang ulama yang akan membawa pendekatan baharu dan segar untuk umat Islam.

Jika dilihat realiti umat Islam kini, banyak idea serta konsep hidup beragama yang ditawarkan oleh pendakwah Islam atau ahli politik Islam lebih kelihatan hambar dan kuno. Tidak kurang juga kelihatan kurang inovatif dan sukar untuk dilaksanakan secara berkesan.

Tidak dinafikan bahawa ajaran Islam itu adalah benar, namun slogan, pendekatan serta konsep yang dipersembahkan kepada umat manusia malah kepada umat Islam sendiri kelihatan lapuk dan tidak segar. Jika itulah realiti yang ada dalam masyarakat Islam, maka tidak seharusnya masyarakat awam dipersalahkan kerana mereka manusia yang tidak tertarik kepada sesuatu yang lapuk dan usang.

Banyak produk jualan yang ditawarkan oleh firma perniagaan yang diurus tadbir dengan baik namun kerana produk mereka dianggap usang dan menjemukan maka pengguna berubah arah kepada produk baru, demikianlah apa yang berlaku kepada syarikat alatan komunikasi Sweden (NOKIA) ketika berdepan dengan evolusi telefon SAMSUNG dalam dekat yang lalu. Perkara yang sama juga berlaku kepada syarikat pengeluar kereta dari Amerika dan Eropah ketika berdepan dengan syarikat dari Jepun dan Korea.

Ketika Baginda SAW membawa ajaran Islam kepada umat manusia sekitar 1400 tahun yang lalu. Ajaran serta pendekatan Baginda adalah baharu dan menarik serta sesuai dengan keperluan manusia ketika itu. Maka tidak hairan ajaran Islam diterima oleh mereka yang ikhlas dan mencari sesuatu yang baharu dalam kehidupan mereka yang penuh dengan tipu muslihat syaitan manusia dan jin.

Perkara yang sama juga berlaku kepada warga Amerika dan Eropah pada masa kini. Ketika mereka merasa jemu dengan falsafah sekularisme, hedonisme, imperialisme melampau dan berbagai ideologi lapuk yang dipersembahkan kepada mereka sejak 400 tahun yang lalu, kini mereka mula menoleh dan mengintai kebaikan Islam yang dibawa oleh pendatang atau pendakwah Islam di sana.

Menginsafi apa yang berlaku dan sedang marak berkembang di benua Amerika dan Eropah, umat Islam di Malaysia perlu melihat sekeliling untuk segera membuat perubahan terhadap pendekatan dakwah serta usaha-usaha memperbaiki masalah masyarakat umat Islam di negara kita agar ia kelihatan menarik dan benar-benar berkesan.

NGO serta organisasi Islam begitu banyak bergerak di negara kita, dengan segala tenaga dan dana kewangan yang besar telah dibelanjakan, Islam masih lagi tidak kelihatan menarik sehingga menjadi pilihan utama masyarakat walaupun ketika mereka dalam bencana seperti pandemik Covid-19. Di manakah silap kita?

Dalam konteks politik pula, slogan-slogan parti politik Melayu-Islam sudah lapuk dan menjemukan. Slogan membela bangsa, membela agama dan perjuangkan bumi bertuah sudah mual untuk didengar malah kelihatan secara nyata sebahagian ahli politik yang menggunakan slogan lama itu sebenarnya hanya bermain wayang dengan pengundi Melayu. Mereka lebih pentingkan kelangsungan politik mereka dari menegakkan apa yang dilaungkan oleh mereka dengan sepenuh hati ketika berkempen dalam pilihan raya.

Marilah sama-sama kita perbaiki kesilapan selama ini. Perjalanan membina bangsa dan negara tercinta ini masih panjang dan memerlukan kesedaran bersama seluruh lapisan masyarakat. Jika ada sesuatu yang lapuk dan sudah tidak mampu lagi untuk diperjuangkan, maka apa salahnya kita membuat sedikit perubahan demi menjadikan ia mampu serta ampuh untuk diterapkan dan menarik untuk diperkatakan.

Manusia ialah manusia selamanya, mungkin masa dan tempat serta keturunan membezakan mereka namun sifat fitrah semula jadi manusia adalah sama. Firman Allah SWT “demikianlah fitrah Allah yang Allah telah tetapkan pada semua manusia, dan Allah tidak akan mengubah ciptaannya itu”.

Sebelum Islam ditolak oleh generasi muda kita hari ini dan sebelum masyarakat mual sehingga tidak percaya lagi kepada parti politik Melayu, marilah sama-sama kita mengubah diri kita dan berani membuat perubahan pada pemikiran, pendekatan, penghayatan, fokus dan cara bertindak kita.

Tawarkanlah kepada anak muda kita sesuatu yang baharu, segar, menarik dan berguna buat mereka dan kita. Pastilah yang benar itu Islam juga membawa keadilan sejagat namun rupa dan modelnya mungkin berwajah baharu, segar dan menarik.

 

Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid

Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here