KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menitahkan ahli Parlimen supaya tidak menjadikan rakyat sebagai taruhan untuk mencapai agenda tertentu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihati mereka supaya menghentikan sebarang pertelingkahan supaya Malaysia kekal sebagai negara aman, harmoni dan bersatu.

“Jangan sama sekali meletakkan masa depan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, ingin beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat sekalian dan untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 ini.

“Ia dalam masa sama membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpah darah kita,” titah Baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Perasmian yang dilaksanakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menutup titah ucapan pembukaan sidang itu Al-Sultan Abdullah menitikkan tiga rangkap pantun sebagai nasihat kepada Ahli Dewan Rakyat.

Baginda juga sempat berjenaka bahawa pantun itu tidak dapat dijawab dan sesiapa yang ingin membalas pantun berkenaan perlu menunggu tahun depan.

Tiga rangkap pantun tanda pesanan ikhlas Seri Paduka Baginda adalah:

Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlas berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan dilupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
Martabatkan negara kembali bermaruah.

Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

Baginda kemudian mengucapkan selamat bersidang kepada Ahli Dewan sebelum berangkat meninggalkan majlis.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here