Oleh Yusoff Ahmad Shariff

DI TERENGGANU lebih 100 guru dilaporkan tidak mahu divaksin.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau sendiri tidak tahu apa alasan mereka enggan divaksin, walaupun menganggap jumlah tersebut sebagai peratusan kecil jumlah guru di negeri itu.

“Cuma permintaan saya supaya mereka ini mempertimbangkan semula keputusan mereka demi kebaikan semua pihak, termasuk keluarga mereka dan anak-anak murid mereka,” kata beliau kepada media semasa Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Isnin (13 Sept).

Menurut Ahmad Samsuri walaupun tiada sebarang peraturan atau undang-undang membolehkan sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka, namun mereka akan dipujuk untuk menerima suntikan.

Beliau berkata mungkin satu lagi cara ialah dengan meminta mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dua minggu sekali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Terengganu kini 75 peratus.

“ICU kita perlu 50 peratus (untuk beralih ke fasa tiga), tetapi kita lebih daripada 75 peratus sekarang. Hal ini kerana pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke ICU adalah selama 21 hari dan ia adalah tempoh yang lama.

“Walaupun jumlah harian kemasukan pesakit ke ICU adalah kecil tetapi semakin hari semakin ramai sebab hendak tunggu 21 hari,” katanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here