COVID-19 ternyata bukan sahaja meragut nyawa manusia dan mematikan nikmat kehidupan tetapi menjadikan jiwa kacau. Manusia cepat hilang pertimbangan, gagal mengawal kesabaran dan mendedahkan kelemahan.

Dalam kehidupan, Covid-19 menyebabkan ibadah ‘terjejas’, ‘mematikan’ langkah manusia ke masjid dan surau. Ini semua sudah terbukti apabila masjid dan surau tertutup rapat atau jemaah dihadkan. Tidak terkecuali Masjidilharam.

Lebih malang, kita berbalah sesama umat disebabkan angkara yang berpunca dari Covid-19 ini. Dalam kalangan kita ada yang kecundang, sehingga merosakkan akidah dan akhlak. Begitulah sisi buruk Covid-19 walaupun masih ada sisi positifnya!

Begitu liciknya Covid-19 yang ‘merasuk dan menggoda’ manusia tanpa mengira siapa mereka. Sesuatu yang mula tampak remeh menjadi besar. Sesuatu yang sepatutnya boleh diselesaikan akhirnya kecoh satu Malaya.

Ketika Covid-19 melanda, solat Jumaat dalam kalangan masyarakat Islam sudah tidak menentu. Entah berapa lama ramai yang tidak solat Jumaat apatah lagi anak-anak remaja kita. Semuanya kerana Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tiada kesudahannya jika kita terus berbalah soal SOP solat Jumaat ini yang bergantung kepada pelbagai kaedah seperti ikut peratusan kapasiti masjid/surau, ikut angka ditetapkan, kuota jemaah dan kuota ahli jawatankuasa (macam VIP).

Sistem ikut giliran pun ada baiknya tetapi bagi kawasan penduduk yang ramai, lama juga menanti untuk giliran berikutnya. Contoh, saya mendapat giliran pada Jumaat pertama awal Muharam, dan dua Jumaat akan datang belum pasti berpeluang lagi.

Ini bermakna sudah empat Jumaat tidak dapat solat dan minggu depan sudah sah tidak tersenarai. Jadi lima Jumaat. Pendaftaran semula atau baharu akan dibuka 20 September dan jika nama tersenarai awal, mungkin akan ada peluang berikutnya.

Begitulah peritnya menanti peluang solat Jumaat (tidak semua tempat) ketika kita memahami antara kepentingan ibadah dan penjagaan kesihatan.

Menunggu di luar pintu pagar masjid, malahan ada yang solat Jumaat di luar pintu pagar adalah satu perkara biasa. Sama ada ditular atau tidak. Ada yang boleh menerima atau mengalah dan ada yang tidak apabila masjid sudah cukup kuota.

Kecoh baru-baru ini kerana yang datang lewat itu didakwa sebagai VIP. Layanan kepada VIP juga bukan sesuatu yang luar biasa. Di mana-mana sahaja ada layanan kepada kumpulan atau mereka yang mendapat status VIP.

Layanan VIP pula bukan terbatas kepada orang tertentu berjawatan besar atau wakil rakyat. Banyak kategori VIP. Orang kurang upaya juga boleh mendapat layanan sebagai VIP. Terpulang kepada individu itu bagaimana memanfaatkannya.

Realitinya, barisan ahli jawatankuasa masjid dan surau juga menerima layanan VIP apabila mereka sudah dimasukkan dalam kuota jemaah yang layak solat setiap waktu termasuk Jumaat. Begitu juga nama yang terpilih solat juga layak digelar VIP.

Maka tidak selesai isu VIP yang remeh menjadi besar selepas berlaku tindak balas bagi melayani isu yang tular itu. Mesti ada batas waktu pintu pagar ditutup bila tiba waktunya dan isilah kekosongan yang lewat hadir dengan jemaah yang menunggu.

Justeru pihak berkuasa agama perlu mencari penyelesaiannya. Cukuplah kita bertelagah mengenai solat Jumaat ini. Cukuplah kita dijauhkan dari masjid dan surau. Cukuplah saf kita direnggangkan ketika solat. Jangan direnggangkan lagi di luar solat. Carilah kaedah ‘merapatkan kembali saf’ kita.

Dalam isu solat Jumaat ini, saya pernah menulis supaya memberi peluang surau di kawasan kepadatan penduduk tinggi mengadakan solat Jumaat untuk tempoh tertentu terutama semasa pandemik. (Rujuk tajuk Jumaat: JAIS lakukanlah sesuatu dan Manfaatkan surau pada hari Jumaat)

Perak melaksanakan kaedah ini dengan membenarkan lebih banyak surau termasuk di pejabat dan institusi mengadakan solat Jumaat dengan pematuhan SOP.

Keduanya, mengadakan sesi kedua solat Jumaat seperti dilakukan di kebanyakan masjid di Singapura. Mereka menggunakan sistem daftar dan giliran tetapi peluang lebih luas apabila diadakan sesi kedua atau ketiga.

Pada Jun 2020, Menteri di Jabatan Perdana Mentei Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan umat Islam menunaikan solat Jumaat di surau bagi memberi peluang lebih ramai menunaikan solat itu ketika masjid mengehadkan kehadiran jemaah.

Setahun berlalu, apa hasilnya? Hari ini cadangan itu dikemukakan lagi tetapi ia memerlukan ’keazaman politik’ bukan berlalu begitu sahaja di atas bibir. Diharapkan ada sesuatu yang boleh mengurangkan ‘ketegangan’ pada hari Jumaat.

Jangan biarkan jemaah Jumaat mencemburui kelonggaran di pusat beli belah, taman rekreasi, restoran dan sebagainya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here