STEFFI Sarge Kaur Seargeant Singh (kanan), kapten Harimauwati Malaya. - Foto FAM

“SETIAP pemain Thailand pun ada dua tangan, dua kaki, sama macam kami. Mereka pun manusia, bukanlah Superwoman!”

Semangat pantang menyerah dan keyakinan padu ini dilaungkan kapten bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur Seargeant Singh menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita 2021 di Palestin mulai 19 September ini.

Dia merujuk pentingnya sikap dan kekuatan mental diterapkan Harimauwati Malaya apabila menghadapi lawan sulung Kumpulan H itu yang berpengalaman bermain pada pusingan akhir Piala Dunia Wanita 2015 dan 2019.

“Thailand sebuah pasukan terkuat Asia. Pernah bermain dalam Piala Dunia Wanita, semuanya lengkap pada mereka. Mungkin ada pemain kita yang gementar bertemu mereka…jadi mental kami kena bersedia dengan sangat kuat.

“Sikap kami juga kena positif dan saya tidak mahu ada fikiran kami yang lawan tidak boleh dikalahkan,” kata Steffi, 33, dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.

Dia kembali bersama pasukan bimbingan Jacob Joseph ini selepas 10 tahun kerana lebih banyak beraksi dalam futsal tempatan dan antarabangsa.

JACOB Joseph, jurulatih skuad wanita negara. – Foto FAM

Akuinya, pasukan negara dibarisi 80 peratus remaja dengan 18 orang berusia bawah 21 tahun yang memerlukan banyak bimbingan senior sepertinya apatah lagi mereka hanya sempat berlatih selama 25 hari sejak 21 Ogos lalu.

Kata Jacob, Harimauwati Malaya mahu mengutamakan corak taktikal bertahan dalam berdepan Thailand selain melancarkan serangan balas malah akan cuba mengurangkan jurang gol di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin.

“Ketika saya melatih pasukan wanita pada 1999 hingga 2001, ada lima atau enam kali melawan Thailand. Dalam 2012 kita pernah menang 2-1 dalam persahabatan, selebihnya kita kalah.

“Mereka ada liga bola sepak wanita, sedangkan kita sudah dua Piala Tun Sharifah Rodziah (kejohanan kebangsaan) dibatalkan sebab pandemik (Covid-19).

“Juga kerana masih dalam gelembung sukan, tiada perlawanan persahabatan dapat dijalankan sebagai pemanas badan kami apatah lagi di sini, tiada kelab bola sepak wanita pun.

Mengenai Palestin yang akan ditentang pada 22 September ini, katanya, ”kami belum pernah lawan negara Arab tetapi saya harapkan tiga mata daripada perlawanan ini.

“Lawan sebuah pasukan berpengalaman yang main Piala Arab Wanita, baru-baru ini dengan bertemu Jordan dan Algeria,” katanya yang turut menjadikan Kelayakan Piala Asia Wanita, pendedahan awal skuad negara ke Sukan SEA Hanoi 2022.

Agak malang Harimauwati Malaya kempunan khidmat dua pemain remaja yang tidak mendapat pelepasan dua kelab mereka di Eropah, Celine Chuang (Bayern Munich, Jerman) dan Berlin Leong (CF Pozuelo, Sepanyol).- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here