KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas sembilan pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai lebih RM31,000 pada tahun 2018.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh Ab Hanif Ab Hamid, 40, sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Ab Hanif mengaku tidak bersalah sejurus semua sembilan pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan membabitkan permohonan pembekalan pelbagai barangan termasuk mangkuk tandas, alas kaki, cat, racun dan mesin rumput yang semuanya berjumlah RM31,099.50.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin antara 4 Julai 2018 hingga 28 November 2018, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikuti Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.

Tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri dua bulan sekali ke pejabat SPRM negeri.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 20 Oktober ini.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here