KUALA LUMPUR – Parti Warisan mendakwa pihaknya tidak dilibatkan langsung dalam perbincangan awal berhubung memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan.

Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman, berkata mereka hanya dilibatkan selepas PH telah menyatakan persetujuan dengan kerajaan untuk menandatangani MoU terbabit.

“Kita dilibatkan hanya setelah PH membuat persetujuan dengan kerajaan untuk MoU dan kita hanya dipanggil untuk ditaklimatkan berkenaan persetujuan itu.

“Adakah pandangan PH bahawa kita dipanggil menyertai taklimat itu adalah tanda Warisan dilibatkan?

“Bagaimana mungkin kita menandatangani sesuatu jika kita tidak dimaklumkan dan dilibatkan secara lebih terperinci?” katanya, lapor FMT.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pembabitan pihaknya dari awal adalah penting bagi memastikan apa yang penting buat rakyat Sabah turut dimasukkan.

“Kalau Warisan dibawa dalam rundingan dari awal, kita akan tekankan berkenaan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963). Selera orang Sabah dan Sarawak perlu didengari dalam blok pembangkang,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke, yang menafikan mereka mengetepikan parti pembangkang lain dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Terdahulu, Loke dilaporkan berkata satu taklimat khas berkenaan kandungan MoU telah disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Pejuang, petang semalam.

Katanya, wakil Warisan juga dijemput untuk taklimat itu namun mereka tidak hadir.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here