laboratory, test tubes, healthcare worker
Photo by DarkoStojanovic on Pixabay
Oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Effendi Amran

PERALATAN perubatan adalah terlalu signifikan dalam rawatan dan pemulihan pesakit serta merupakan aset yang bernilai tinggi lebih-lebih lagi ketika dunia hari ini berdepan wabak COVID-19.

Kejuruteraan Biomedikal, iaitu satu disiplin kejuruteraan yang berperanan sebagai the caretaker di dalam penyelesaian isu-isu saintifik, aplikasi teknologi, pengurusan dan penyelenggaraan peralatan perubatan di fasiliti-fasiliti kesihatan awam, telah menjadi jejambat di antara teknologi perubatan dan kejuruteraan moden, serta dilahirkan berteraskan kelayakkan akademik dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi, terminologi perubatan, sistem komunikasi, instrumentasi dan sebagainya.

Di dalam skim perkhidmatan awam di Malaysia, jurutera biomedikal adalah ‘terbilang’, kerana jawatan tersebut hanya wujud di jabatan-jabatan, agensi-agensi dan fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jumlah mereka jauh lebih rendah berbanding disiplin kejuruteraan yang lain di dalam perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Dianggarkan terdapat lebih 200 ribu aset peralatan perubatan di hospital-hospital KKM yang boleh dibahagikan kepada empat (4) kategori utama iaitu alat Radiology & Imaging, Therapeutic, Diagnostic dan Laboratory. Kesiagaan penyelenggaraan ke atas keempat-empat kategori utama peralatan perubatan ini diterjemahkan melalui komitmen pihak KKM bersama-sama pihak syarikat swasta menerusi perjanjian konsesi dalam melaksanakan perkhidmatan sokongan hospital (PSH) seperti mana yang telah dimeterai sebelum ini.

Di antara objektif utama PSH adalah untuk meningkatkan tahap penyediaan penjagaan kesihatan dan kualiti perkhidmatan di hospital-hospital KKM, di samping meningkatkan kecekapan dan kebolehharapan dalam tadbir urus pengurusan fasiliti, penyelenggaraan dan pengoperasian sistem kejuruteraan.

Terdapat enam (6) perkhidmatan utama di bawah PSH ini dan salah satunya adalah perkhidmatan Biomedical Engineering Maintenance Services (BEMS) yang memfokuskan kepada tadbir urus, pengoperasian, penyelenggaraan dan pembaikan peralatan perubatan di hospital-hospital KKM.

Perkhidmatan BEMS yang dilaksanakan oleh pasukan kejuruteraan biomedikal syarikat-syarikat konsesi di hospital-hospital KKM disokong oleh prosedur berstruktur dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditadbir dan dipantau rapi secara berkala dan bersepadu oleh pasukan kejuruteraan biomedikal KKM dalam memastikan kualiti perkhidmatan menjadi keutamaan serta mencapai setiap penanda aras yang telah ditetapkan.

Hakikatnya, penetapan strategi penyelenggaraan yang konsisten sebagai teras utama menjadi salah satu faktor di sebalik kelestarian perkhidmatan BEMS di hospital-hospital KKM ini. Strategi penyelenggaraan bagi peralatan perubatan yang dimaksudkan mengaplikasikan konsep corrective maintenance (CM), preventive maintenance (PM), dan predictive maintenance (PdM) berdasarkan tahap kritikal alat.

Ini bermakna, strategi penyelenggaraan untuk peralatan perubatan yang dipraktikkan adalah cernaan daripada ketiga-tiga konsep tersebut yang membuka lembaran kepada kepelbagaian kaedah yang bersepadu, teratur dan sistematik mengikut kesesuaian situasi dan kondisi alat. CM adalah pendekatan penyelenggaraan secara reaktif di mana aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan hanya dilaksanakan setelah kerosakan atau kegagalan fungsi alat dikesan ataupun dilaporkan.

Manakala, PM pula adalah pendekatan pencegahan daripada berlakunya kerosakan atau kegagalan fungsi peralatan di mana aktiviti penyelenggaraan berkala berpandukan senarai semak oleh pihak pengeluar alat dilaksanakan oleh pasukan penyelenggara.

Di samping itu, PdM menggunakan pendekatan ramalan menerusi pengukuran kemerosotan prestasi sesebuah alat melalui aplikasi sensor dan kaedah yang lebih sofistikated. Ini dapat mengoptimakan kos-kos penyelenggaraan memandangkan perincian ke atas keperluan sebenar penyelenggaraan dapat dikenalpasti. Namun, kos-kos teknologi perlu diambil kira dalam pendekatan PdM ini.

Secara umum, halatuju penyelenggaraan di hospital-hospital KKM dilaksanakan menerusi dua (2) aturan, iaitu penyelenggaraan berjadual (scheduled maintenance) dan penyelenggaraan tidak berjadual (unscheduled maintenance).

Penyelenggaraan berjadual adalah pemeriksaan atau servis berkala bagi peralatan perubatan yang dilaksanakan mengikut kalendar, tempoh operasi alat atau kadar penggunaan alat yang dilaksanakan menerusi plan preventive maintenance (PPM), routine inspection (RI), waranty-PPM, dan calibration.

Manakala penyelenggaraan tidak berjadual adalah satu aturan untuk memperbaiki peralatan perubatan yang rosak untuk kembali kepada kondisi nominal di dalam situasi luar jangka.

Perkhidmatan BEMS yang dikemudi oleh jurutera-jurutera biomedikal baik di pihak KKM mahupun swasta ini juga sedang menerajui pendekatan baharu ke arah aplikasi teknologi termaju yang disokong oleh Polisi Revolusi Industri 4.0 Kebangsaan. Di antara teknologi yang sedang dibangunkan adalah aplikasi Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), cloud computing dan sebagainya sebagai usaha pemodenan sistem pemantauan penyelenggaraan yang lebih proaktif dan bersepadu.

Dalam meneroka industri kejuruteraan penjagaan kemudahan kesihatan di Malaysia, kejuruteraan biomedikal sentiasa berdepan dengan cabaran-cabaran baharu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan transisi peralihan teknologi-teknologi baharu yang pantas di dalam dunia peralatan perubatan moden. Justeru, adalah penting bagi jurutera-jurutera biomedikal untuk sentiasa mengekalkan versatility di dalam apa jua situasi serta dapat mengimbangi di antara keperluan teknologi dan keperluan mengoptimakan kos-kos berkaitan.

Manakala, cabaran dalam multi-tasking merentasi kepelbagaian disiplin kejuruteraan adalah perkara biasa oleh mana-mana disiplin kejuruteraan di hospital, meskipun pahit untuk ditelan, namun hakikatnya begitulah part and parcel di dalam industri kejuruteraan ini.

Apa yang menjadi keutamaan adalah kesiagaan penyelenggaraan peralatan perubatan oleh jurutera biomedikal sentiasa dipastikan bertaraf lima (5) bintang agar perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan ke tahap ‘world class’.

Ir. Ts. Dr. Mohd Effendi Amran

*Ir. Ts. Dr. Mohd Effendi Amran merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here