Pekan Sri Jaya, Pahang dilanda banjir kilat.

Oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Hairy Ibrahim

SETIAP hujung tahun kejadian banjir antara menjadi kebimbangan masyarakat di negara ini. Ini mengundang pelbagai situasi membimbangkan dan mencemaskan.

Kesedaran masyarakat sangat penting dengan banjir lumpur yang berlaku, disebabkan masyarakat amat perlu mengambil endah dengan kesanya. Kurangnya tidak peduli dan kurang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar boleh mengundang kecederaan kepada mereka.

Selain itu juga, hujan yang tinggi akan turut memberi kesan kepada manusia. Antaranya boleh mengakibatkan risiko penyakit bawaan air di antara penyakit berjangkit yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir.

Menurut, Kementerian Kesihatan, antara penyakit berjangkit yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir adalah seperti:

  1. Penyakit bawaan air dan makanan
    Antara yang kerap berlaku sewaktu dan selepas banjir adalah demam kepialu (tifoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.
    Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui minum air atau makan makanan yang dicemari kuman penyakit terbabit. Ia sangat mudah berjangkit dan bahaya.
  2. Leptospirosis
    Ia disebabkan bakteria Leptospira yang wujud dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing dan lembu.
    Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang dicemari air kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini.
    Antara tanda penyakit leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, mata merah, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.
  3. Konjunktivitis atau sakit mata
    Ia juga kerap terjadi ketika banjir. Sakit mata mudah merebak dengan cepat daripada seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.
    Penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus atau alahan ini adalah radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.
  4. Demam denggi
    Selepas banjir surut, banyak kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin minuman dan bekas makanan polistirena yang digunakan atau hanyut ketika banjir.
    Semua bekas ini perlu dibuang dengan betul, malah setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.
    Antara tandanya, demam mengejut dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot, sakit pinggang yang teruk dan gatal-gatal.
    Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang dan biasanya muncul di anggota bawah pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.
    Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok kulit warna yang normal.
    Kemungkinan terjadi gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung.

Sehubungan itu, semua langkah kesihatan yang nyatakan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan perlu diambil cakna.

Kesan banjir lumpur itu juga turut menyebabkan saluran pembetungan tersumbat dan melimpah keluar, seterusnya menghasilkan bau yang kurang menyenangkan yang menyebabkan pencemaarn air dan udara dalam rumah

Fasiliti yang menyaksikan air berlumpur masuk ke kediaman, longkang dan lima jalan air lumpur akibat projek pembangunan taman perumahan itu menyebabkan rumah dan jalan di situ berselut. Kos penyelenggaraan juga bertambah dalam menangani kesan bencana ini.

Misalnya, dalam banjir lumpur di Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan dianggarkan RM5.3 juta diperlukan bagi kerja pembaikan struktur jalan di kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan. Ini termasuk kerosakan yang diakibatkan oleh tanah runtuh.

Tindakan Segera

Tindakan segera dalam mitigasi bencana memerlukan peranan semua pihak bertanggungjawab, agensi keselamatan dan NGO yang berkaitan.

Pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan agensi di bawahnya, serta kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera dalam melaksanakan mitigasi bencana

Dalam kejadian kepala air berhampiran Gunung Jerai, Yan, Kedah, tindakan segera telah diambil oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam mitigasi mengenal pasti langkah dan tindakan segera bagi membantu proses pemulihan akibat banjir lumpur. Ini melibatkan mitigasi bantuan bencana bagi mempercepatkan proses perolehan membaiki kerosakan sistem bekalan air, sistem saliran dan pengairan serta tebatan banjir agar masyarakat dapat kembali pulih.

Peranan “Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Operator Air Negeri juga amat penting dalam memastikan bekalan air bersih kepada penduduk tidak terganggu. Penelitian dan Pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dengan segera telah dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam memastikan proses mitigasi dilaksanakan secara menyeluruh.

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd perlu mengorak langkah membantu dengan mengambil tindakan pantas dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk pengosongan tangki septik. Jika berlaku pencemaran boleh menyebabkan masalah penyakit.

Tragedi banjir lumpur di daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu berikutan banjir buruk yang melanda yang diibaratkan tsunami kecil. Fenomena kepala air Gunung Jerai dengan arus yang deras memperlihatkan fenomena batang pokok yang tersangkut dan tersadai di Hutan Lipur Tupah, Alor Setar.

Pengalaman kesukaran mitigasi bencana Pos Dipang menyaksikantimbunan tanah yang bercampur lumpur setebal kira-kira 1.5 meter terpaksa digali. Hujan lebat dan arus deras telah merubah landskap Perkampungan Orang Asli Pos Dipang menjadi sebuah kawasan bencana dan pihak berkuasa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan semula mayat mangsa.

Menyedari tragedi Yan dan Tragedi Pos Dipang boleh berlaku lagi. Masyarakat perlu peka dengan perubahan hujan di Malaysia dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi hujan luar biasa yang berisiko mengakibatkan bencana berlaku. Mereka boleh mendapatkan bacaan hujan dan suhu harian dengan hanya ‘memuat turun aplikasi myCuaca’ dalam telefon pintar.

Sistem Amaran banjir di lokasi-lokasi berisiko seharusnya di bangunkan dalam menangani kehilangan nyawa khususnya akibat bencana banjir lumpur.

Keadaan ini membolehkan pihak berkuasa dan masyarakat ‘bersiap siaga’ dalam menghadapi situasi bencana peningkatan hujan lebat, banjir kilat dan banjir monsun. Selain itu, kejadian banjir kilat juga akan mudah berlaku apabila suhu hujan mencatat jumlah hujan yang tinggi. Dengan ini juga akan turut menyebabkan persekitaran terjejas.

 

Dr. Mohd. Hairy Ibrahim

*Penulis merupakan Dekan, Fakulti Sains Kemanusian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau boleh dihubungi di hairy@fsk.upsi.edu.my dan 019-282 6250

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here