Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Pendanaan politik yang tidak dikawal selia didakwa menjadi punca utama rasuah berskala besar berlaku termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh berkata, ketelusan harus jadi teras atau prinsip utama kepada akta itu yang membabitkan aspek penerimaan dan perbelanjaan dana.

“Dana diterima parti dan yang dibelanjakan parti mesti direkodkan.

“Prinsip kedua yang mungkin susah sedikit tapi harap boleh bincangkannya, tentang pendanaan awam. Kita ada 70 negara di dunia yang telah melaksanakan pendanaan awam.

“Antara kebaikan pendanaan awam bagi parti politik adalah ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat-syarikat besar, individu-individu kaya, taikun-taikun bisnes dan sebagainya yang lazimnya mengharapkan imbuhan daripada derma diberi,” kata beliau.

Yeoh berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel sesi bual bicara biasa, Program Politik #MalaysiaTanpaRasuah anjuran Rasuah Busters, Sinar Harian baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel juga berkata, gejala rasuah kini menjadi satu ketidakadilan yang serius di Malaysia sehingga negara telah mempunyai tiga kerajaan baharu sejak tahun 2018.

Menurutnya, pertukaran itu disebabkan beberapa ahli politik melompat parti tanpa memberi tumpuan kepada demokrasi, kerajaan yang mempunyai akauntabiliti dan berketulusan.

“Kami membuat sesuatu yang mustahil iaitu menolak keluar pemimpin yang rasuah secara sebulat suara

“Kami ingat masa itu rasuah sudah tiada dan Malaysia tidak diselubungi dengan korupsi,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin bersetuju tentang perlunya reformasi Parlimen dalam memastikannya lebih autonomi dan bebas daripada rasuah.

Badlishah berkata, “perkara itu perlu dilakukan segera agar dapat menguatkan semula institusi itu dengan mengembalikan semula undang-undang perkhidmatan Parlimen.

“Ia juga menguatkan peranan sebagai institusi semak dan imbang. Beri autonomi kepada pentadbiran, kewangan dan juga kepada institusi Parlimen itu sendiri.

“Kebebasan yang lebih terjamin kerana tidak bergantung kepada kerajaan untuk kewangan.

“Oleh itu kita tuntut supaya dibawa kembali undang-undang perkhidmatan Parlimen ini yang telah dimansuhkan pada tahun 1992,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here