Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam tidak akan mengubah pendirian UMNO mengenai ‘no DAP, no Anwar’.

Malah Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu turut membuat ketetapan tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang.

“Jika ada sebarang perubahan dasar, ia hanya boleh dibuat oleh PAU atau MKT (Majlis Kerja Tertinggi).

“Persefahaman ini bukan kerjasama untuk berkongsi kuasa dengan PH, jauh sekali untuk mengangkat mereka menerajui negara.

“Ia untuk kestabilan politik pada situasi unik sekarang; buat masa sekarang, tidak lebih, tidak kurang dari itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MoU itu membentuk kerjasama dwipartisan dengan mengutamakan enam agenda konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, agenda tersebut merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Shahril turut menegaskan MoU itu tidak akan menghakiskan persepsi antara kerajaan dan pembangkang dalam sekelip mata, malah masing-masing akan berwaspada dengan tindakan pihak ‘lawan’.

“Adakah begitu mudah kita percaya dengan PH? Tahap skeptikal antara kerajaan dan pembangkang tidak hilang sekelip mata. Masing-masing akan melihat tindakan pihak lain.

“Masih ada ruang untuk PH tidak mengotakan janji membantu kerajaan, jadi amat bersetuju dengan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO/Ahli Parlimen Lenggong) mengingatkan agar kerajaan berwaspada.

“Ia bukan lesen untuk selesa di tampuk kuasa menganggap tidak dikritik mahupun dibangkang,” katanya.

Beliau juga yakin persefahaman itu tidak bermaksud pembangkang akan berhenti menjadi pembangkang, jauh sekali menjadi sebahagian kerajaan seperti yang disebut oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

“Saya yakin pembangkang masih akan menjalankan peranan mereka mengkritik dan memberi semak imbang kepada kerajaan. Mereka tidak akan lepaskan lesen tersebut.

“Sama juga bagi kerajaan, persefahaman ini tidak bermaksud kita terus memadam sebarang perbezaan antara parti atau berkongsi kuasa memutuskan sesuatu. Keputusan akhir apa sahaja dasar masih di tangan kerajaan dan pembangkang juga memahami hakikat ini,” katanya.

Shahril juga percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu meraih kelebihan daripada persefahaman itu kerana kerajaan ketika ini dipimpin oleh UMNO, namun ia tertakluk kepada prestasi kerajaan dan pengadilan rakyat.

Bagaimanapun katanya, jika kerajaan tidak menggunakan peluang yang ada berkhidmat dengan baik, UMNO akan dihukum pada PRU-15, namun jika kerajaan berprestasi cemerlang, imej UMNO akan meningkat.

“Diharapkan rakyat dan negara mendapat keuntungan persefahaman ini melalui dasar yang dilaksana dan kestabilan yang tercapai, jikapun untuk seketika,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here