Eza Edmond gembira kerana lagu Bahagia, single pertamanya mendapat perhatian ramai di Indonesia.

Oleh Khadijah Ibrahim

KENAL tak dengan penyanyi bernama Eza Edmond? Mesti ada yang bertanya, dia nyanyi lagu apa? Tidak boleh persalahkan penggemar muzik tempatan jika mereka tidak mengenali Eza kerana di Malaysia setiap hari ada sahaja wajah baharu yang bergelar penyanyi.

Nama Eza mungkin boleh cepat popular, jika beliau sengaja mencari kontroversi untuk publisiti namun orang terpelajar seperti Eza tidak akan melakukan perkara yang memalukan diri kerana beliau bersandar kepada bakat.

Bagaimanapun Eza atau nama penuhnya Eza Hafizah Edmond, 23, antara pendatang baharu yang bertuah kerana single sulungnya, Bahagia, sejak dimuat naik di saluran YouTube pada 12 September 2017 hingga kini sudah mencecah jutaan tontonan.

Lagu dan lirik Bahagia, ciptaan Hazmi Fahim itu bukan sahaja mendapat perhatian peminat tempatan, malah berjaya mencuri perhatian peminat di Indonesia juga.

Bagi anak kelahiran Papar, Sabah itu, beliau tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sana begitu dahsyat sehinggakan ramai yang meminta kebenaran untuk merakamkan semula lagu tersebut.

“Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasarkan komen yang mereka tinggalkan pada muzik video. Ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan.

DJ Komang memainkan lagu Bahagia versi remix di TikTok dan kini menjadi ikutan.

“Kini Bahagia sekali lagi tular di sana. Pelbagai versi sudah dibuat oleh pelbagai pihak dan ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai,” katanya merendah diri.

Semuanya bermula apabila lagu tersebut diolah semula oleh beberapa orang deejay (DJ) popular di sana dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.

Antara deejay yang tertarik dengan lagu berkenaan termasuklah DJ Komang yang sememangnya popular di sana. Muzik versi remix yang diadun mendapat tular di aplikasi TikTok seterusnya menambahkan lagi populariti lagu berkenaan. Malah, versi remix yang dibuat juga dimuat naik ke YouTube dan ditontoni lebih 20 juta kali.

Sehingga ke hari ini, sudah lebih 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi dari negara seberang meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungannya, Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu berkenaan.

Bulan Sutena menyanyi lagu Bahagia dendangan Eza dengan gayanya tersendiri.

Ada di antara mereka sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta mengeluarkan semula di YouTube. Ada juga yang meminta kebenaran untuk mengubah lagu ini kepada versi lain seperti jaz, dangdut, rock dan akustik.

“Tak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana ketika ini. Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan Bahagia. Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang.

“Setidaknya dengan sambutan yang diberikan membuatkan saya mahu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri,” kata Eza penuh semangat.

Eza Edmond bakal tampil dengan projek besar dalam sedikit masa lagi.

Tambah Eza lagi, beliau gembira apabila lagu berkenaan juga dinyanyikan oleh Bulan Sutena, salah seorang penyanyi baharu di salah sebuah stesen TV di sana.

Impak daripada persembahan berkenaan, semakin ramai yang mula mencari penyanyi asal walaupun lagu berkenaan ditukar tajuk kepada Setiap Yang Ku Lakukan Untuk Mu apabila didendangkan oleh Bulan Sutena yang juga seorang influencer itu.

“Saya mahu berterima kasih kepada Hazmi Fahim yang menciptakan lagu yang indah ini, dan kepada semua peminat, terima kasih terus memberikan semangat kepada saya sejak dahulu.

“Insya-Allah ada sesuatu yang besar akan saya lalukan sedikit masa lagi. Apa-apa pun kena tunggu,” katanya yang tampil dengan single baharu, Milik Hatiku pada tahun ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here