Penduduk Kampong Pisang sering menghadapi pelbagai masalah, namun kerana kesepakatan kerja yang susah jadi mudah.

Oleh Khadijah Ibrahim

SEMPENA sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Astro memilih untuk menyiarkan sebuah filem pendek arahan pengarah tersohor, Mamat Khalid yang berjudul Kampong Pisang Kita Setandan.

Kalau sebut karya berkaitan Kampong Pisang, penonton sedia maklum itu adalah hasil kerja Mamat kerana sebelum ini beliau mengarah filem Zombi Kampung Pisang, 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa serta drama Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Kali ini, Mamat tampil dengan filem pendek berdurasi setengah jam yang membawa tema semangat perpaduan yang wujud dalam Kampong Pisang.

Filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan berkisar tentang perpaduan penduduk.

Filem pendek ini boleh ditonton di Astro 25 (saluran 100) pada 16 September, Khamis atau penonton juga boleh strim platform On Demand dan Astro GO.

Sudah menjadi kelaziman, bila Mamat menulis filem tentang Kampong Pisang, watak Barkoba, Pak Jabit, Pak Din, Pak Karim, Cik Purnama, Ahmad Yassin, Faguha Jabar, pasti terlibat sama.

Kali ini penduduk Kampong Pisang akan dikejutkan dengan berita gempar dan ada masalah yang perlu diselesaikan. Boleh dikatakan ‘jika tiada masalah, maka bukan Kampong Pisanglah namanya’.

Menurut Mamat, Kampong Pisang Kita Setandan dihasilkan bagi menyemat semangat bersatu padu dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia.

“Pengisian filem pendek ini bukan hanya tentang menyatukan semua bangsa dan meraikan kepelbagaian kaum di negara tercinta, malah adat serta budaya turut diangkat agar ia sentiasa didedahkan kepada generasi muda.

“Saya harap, filem pendek ini bukan sahaja menghiburkan penonton dengan telatah penduduk Kampong Pisang, tetapi naskhah ini serasi dengan jiwa semua generasi dan sekali gus mampu membina jiwa bangsa dan semangat bersatu hati,” katanya yang sering menyelitkan mesej tersirat dalam setiap karya yang dihasilkan.

Watak-watak dalam Kampong Pisang Kita Setandan dijayakan oleh barisan pelakon yang sama.

Kal ini Kampong Pisang menjadi huru-hara apabila Teck Zee, anak kepada Ng Cee Lam ingin berkahwin dengan kekasihnya, Bulan. Namun ibu bapa Teck Zee tidak bersetuju dengan perkahwinan anaknya. Mengapa?

Di sini geng Kampong Pisang yang diketuai oleh Pak Din Pest Control mencari kepastian dan menyelesaikan masalah tersebut demi memastikan keharmonian penduduk kampung itu. Berjayakah mereka? Saksikan avengers Kampong Pisang beraksi sekali lagi.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem pendek ini adalah Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Rashid Othman dan kemunculan istimewa Wong Wei Tian dan Bulan Terry.

Kampong Pisang Kita Setandan disiarkan di beberapa saluran Astro.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, bersempena Hari Malaysia, Astro mempersembahkan sebuah filem pendek istimewa yang mengetengahkan konsep perpaduan kaum menerusi karya popular Kampong Pisang.

“Kali ini penonton dapat melihat jenama Kampong Pisang membawa mesej berbeza iaitu nilai patriotisme pula. Terima kasih kepada pengarah Mamat Khalid kerana sentiasa kreatif dalam menampilkan konten terbaik dan padat dengan mesej.

“Kami berharap, Kampong Pisang Kita Setandan dapat menjadi inspirasi serta memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat tempatan, selain meraikan Hari Malaysia dengan lebih bererti,” kata Raja Jastina.

Istimewa buat penonton, filem Kampong Pisang Kita Setandan juga turut ditayangkan di saluran lain Astro iaitu di Astro Prima (saluran 105), 5.30 petang, 16 September dan pada hari yang sama, pukul 9.30 malam, filem tersebut boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104). Pada 18 September, filem ini ditayangkan di Astrio Warna (107), pada pukul 10 malam.

Jika ada yang terlepas boleh menonton filem Kampong Pisang Kita Setandan di Astro Citra (saluran 108), pada 20 September, 8 malam.  Selain itu filem ini juga boleh ditonton menerusi NJOI TV (saluran 104),12.30 tengah hari, 22 September.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here