Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama calon Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan pada sidang Parlimen hari ini ditangguhkan sehingga pada sidang belanjawan bulan depan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan perkara itu selepas mendapat undian suara setuju terbanyak daripada ahli Parlimen.

“Pengundian bagi jawatan timbalan speaker akan dibuat pada mesyuarat bajet akan datang,” katanya.

Terdahulu memulakan sesi petang sidang Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengusulkan pemilihan timbalan speaker kedua ditangguhkan.

Katanya, penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan meminda Perkara 57(1)(B) Perlembagaan Persekutuan berhubung penambahan jumlah timbalan speaker daripada dua kepada tiga orang.

“Walaupun dalam perlembagaan tidak ditetapkan siapa yang akan dilantik ke jawatan ini, namun ada penambahbaikan yang boleh dibuat.

“Kita mungkin akan buat peraturan misalnya salah seorang daripada tiga timbalan speaker boleh disandang oleh wakil pembangkang tanpa mengira siapa yang akan jadi kerajaan.

“Saya juga ada berbincang dengan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) supaya pindaan ini kalau dapat dibawa pada hujung sesi ini untuk bacaan kali pertama dan diluluskan pada sesi Oktober nanti,” katanya.

Penangguhan itu menarik reaksi spontan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) yang mohon penjelasan kerana beliau mengikuti rapat perkembangan itu termasuk mencalonkan timbalan speaker daripada blok pembangkang.

Katanya, pemilihan jawatan itu perlu disegerakan selaras dengan Perjanjian Persefahama (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik semalam termasuk memperkasakan fungsi Parlimen.

“Dalam tempoh ini, jika ia tidak diisi beban besar akan terpikul kepada dua penjawat sekarang (speaker dan timbalan speaker). Justeru ia (pemilihan) perlu disegerakan,” katanya.

Pemilihan jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini.

Usul itu dibuat susulan Azalina yang merupakan ahli Parlimen Pengerang, meletak jawatan pada 23 Ogos.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon Ahad lalu memaklumkan nama calon daripada blok pembangkang dan kerajaan telah diterima dan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, undi belah bahagian akan dijalankan.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here