NUR Azmi Ahmad dan Hamidin Mohd. Amin

MESYUARAT Lembaga Eksekutif Majlis Oliimpik Malaysia (MOM) pertama hari ini memutuskan pelantikan baharu Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad sebagai Ketua Kontinjen (Chef de Mission) baharu Sukan SEA Hanoi 2022.

Azmi yang turut baru bergelar Naib Presiden baharu MOM, 4 September lalu, menggantikan Datuk Hamidin Mohd. Amin yang melepaskannya selepas menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden MOM.

Beliau juga ialah Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Walau bagaimanapun Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kepada BebasNews, “tarikh baharu Sukan SEA Ke-31 di Hanoi hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara dalam talian, Jumaat ini.”

Temasya serantau Asia Tenggara dwitahunan itu mulanya dijadualkan pada 21 November hingga 2 Disember ini namun SEAGF pada Julai lalu, memutuskan untuk menundanya ke tahun depan gara-gara pandemik Covid-19.

Akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali kedua selepas 2003, Vietnam telah menyenaraikan 40 jenis sukan dan 520 acara bagi edisi ke-31 ini.

Malaysia juga menjadi antara lapan negara yang membantah penundaan Sukan SEA itu namun turut menyarankan antara akhir April dan awal Mei 2022 sebagai tarikh gantiannya.

Tahun depan bakal menyaksikan kalendar sukan yang begitu padat dengan kemasukan Sukan SEA Hanoi pula kerana turut dijadualkan dan ditunda dari 2021 ialah Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam di Bangkok dan Chonburi, Thailand ke Mac.

Selain itu yang telah dijadualkan lebih awal menurut tradisi tahun genap ialah Sukan Komanwel Ke-22 di Birmingham, England (Julai-Ogos), Sukan Persaudaraan Islam Kelima di Konya, Turki (Ogos) dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China (September).

Siaran media MOM hari ini melaporkan, mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM hari ini turut memutuskan pelantikan 14 pengerusi jawatankuasa tetap ekoran pemilihan pucuk pimpinan lalu.

Pemilihan: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Pemasaran, Penajaan dan Penempatan Semula: Datuk Hamidin Mohd. Amin
Temasya Pelbagai Sukan MOM: Datuk Shahrul Zaman Yahya
Wanita dan Sukan: Datuk Paduka Mumtaz Jaffar
Bangunan dan Prasarana: Datuk Chong Kim Fatt
Tujuan Am dan Anugerah: Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad
Muzium Sukan dan Dewan Kemasyhuran: Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin
Pengurusan dan Pentadbiran: Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib
Kewangan: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Pendidikan dan Latihan: Moira Tan Siew See
Perancangan Strategik: Datuk Mohd. Nasir Ali
Hal-hal Undang-undang, Tatatertib dan Penyelesaian Pertikaian Gantian: Datuk Sri Dr. Jahaberdeen Mohd. Yunoos
Perubatan dan Antidoping: Datuk Dr. S.S. Cheema
Akademi Olimpik Kebangsaan: Nicholas Chan

CDM Temasya Sukan 2022
Sukan Olimpik Musim Sejuk Ke-24 (Februari): Moira Tan Siew See
Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam (Mac): Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin
Sukan Komanwel Ke-22 (Julai): Datuk Shahrul Zaman Yahya
Sukan Persaudaraan Islam Kelima (Ogos): Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Sukan Asia Ke-19 (September): Datuk Chong Kim Fatt
Sukan Belia Asia Ketiga (Disember): Datuk Paduka Mumtaz Jaffar
Sukan SEA Ke-31: Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here