KLANG – Seiring dengan matlamat dan sasaran pihak Kerajaan dalam persediaan ke arah peralihan fasa endemik dengan pencapaian kadar vaksinasi kira-kira 80 peratus menjelang akhir Oktober depan, Pusat Borong GM Klang menyambut baik inisiatif tersebut dengan mewujudkan persekitaran selamat buat komunitinya.

Bermula 16 September ini pusat borong yang terbesar di Malaysia itu akan hanya membenarkan para pengunjung yang sudah lengkap vaksinasi serta tidak bergejala untuk masuk ke dalam premisnya.

Pengurus Komunikasi Korporat & Perhubungan Awam GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, pengunjung perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi mereka ataupun kad fizikal vaksinasi di pintu masuk untuk pemeriksaan.

“Selain itu pengunjung perlu mematuhi kebiasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lain seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan penjarakan fizikal.

“Pelaksanaan ini adalah wajar dalam usaha untuk terus mengekang penularan wabak Covid-19 di dalam kompleks kerana ianya merupakan tempat tertutup. Tindakan ini juga adalah untuk menimbulkan keyakinan orang awam yang berkunjung ke sini untuk sentiasa berasa selesa dan selamat ketika melakukan aktiviti perniagaan dan beli-belah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norsuhaida berkata, pihaknya menjangkakan pengunjung akan kembali bertambah apabila peratusan komuniti yang lengkap vaksinasi sudah meningkat kerana mereka perlu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan atau merehatkan minda yang mungkin telah penat setelah beberapa bulan menghabiskan masa hanya di rumah sendiri.

Katanya lagi, tambahan pula musim persekolahan bakal bermula tidak lama lagi dan ramai ibu bapa hadir mencari barang keperluan sekolah.

“Sehubungan itu, keselamatan kompleks turut dipertingkatkan dengan kekerapan kerja-kerja sanitasi terutama di kawasan-kawasan tumpuan,”katanya.

Sejajar dengan peralihan fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor pada 10 September lalu, makin bertambah kedai-kedai yang dibuka di GM Klang apabila banyak kategori perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi kembali mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini membolehkan pusat borong terbabit dapat beroperasi kembali dengan sepenuhnya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here