Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menerima kemasukan fizikal pelajar ke kampus secara berperingkat-peringkat bermula 15 Oktober ini, kata Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly.

Pelaksanaan dibuat seperti mana yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 14 September lalu dengan mengutamakan kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus dan hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi, kata beliau.

“Keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu yang memerlukan pengalaman menjalani kehidupan di kampus dan juga pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan.”

Tambah beliau, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan di kampus.

Beliau turut menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus bagi semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar.

“Seramai 70 peratus pelajar kami datangnya dari keluarga golongan B40 dan mereka ini kebanyakannya terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik ini.

“Oleh itu, UTHM telah menyediakan peruntukan RM4 juta untuk membantu golongan ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa pada semester akan datang.

“Bagi aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga UTHM pula, sehingga hari ini 97 peratus staf dan 83 peratus pelajar sudah lengkap divaksinasi.

“UTHM akan terus memastikan semua staf dan pelajar melengkapkan dua dos vaksin menjelang akhir September ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi berkenaan pembukaan kampus secara berfasa dalam memastikan sistem Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di IPT terus relevan.

Menurut Yang Dipertua MPP, Muhammad Faris Abdul Hadi, hasil tinjauan yang dibuat menunjukkan para pelajar gembira dengan keputusan itu dan tidak sabar untuk kembali merasai semula kehidupan di kampus serta menghadiri kuliah secara fizikal.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here