artificial intelligence, brain, think
Photo by geralt on Pixabay
Oleh Dr. Mohd Syukri Zainal Abidin dan Muhammad Alif Norizan

DUNIA sudah memasuki Revolusi Industri 4.0 di mana munculnya teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) yang baharu seperti robot pintar, superkomputer, kenderaan tanpa pengemudi dan banyak lagi yang mana manusia mengoptimalkan fungsi otak.

Kecanggihan serta kehebatan teknologi sudah tentu terhasil daripada ketinggian intelektual, kecerdasan akal dan berlatar belakangkan pendidikan yang baik.

Walau bagaimanapun, pencapaian diri yang ada pada hari ini adakalanya kita terlepas untuk memikirkan implikasi dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam setiap tindakan.

Kepincangan adab yang sering diungkapkan oleh Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas boleh menghakis perasaan kasih sayang, mengeruhkan hubungan silaturahim sehingga berlakunya pertengkaran dan permusuhan dalam kalangan manusia.

Buktinya, dalam tempoh negara diuji dengan pandemik Covid-19, muncul beberapa polemik yang berlaku terutama respons negatif antara masyarakat Muslim terhadap golongan agamawan yang boleh dilihat menerusi media sosial seperti isu Prosedur Operasi Standart (SOP) di masjid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), vaksinasi, rentas negeri dan pelbagai lagi.

Pelbagai persepsi yang diwujudkan, dihubungkan pula dengan teori konspirasi dan fitnah akhir zaman seolah cuba untuk mencetuskan provokasi.

Apa yang lebih membimbangkan adalah penjelasan agamawan yang mempunyai kedudukan dan kepakaran tertentu bukan sahaja dikritik hebat, bahkan sampai ke tahap dicaci, dikeji dan dihina oleh masyarakat Muslim.

Mengapakah perkara sebegini boleh terjadi? Di manakah peranan dan kedudukan agamawan dalam memperincikan sesuatu permasalahan berkaitan hal ehwal agama? Atas asas apakah masyarakat awam mengeluarkan sesuatu hukum?

Tindakan seperti mengkritik atau menghentam agamawan semberono memperlihatkan bahawa masyarakat Muslim sudah terpengaruh dengan kecenderungan gerakan yang dibawa oleh Barat.

Mereka bukan sahaja mendahului agamawan dalam membicarakan hukum, bahkan berani menafikan pandangan agamawan yang mengeluarkan pencerahan tanpa mengemukakan hujah yang lebih tepat.

Menurut Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), idea liberal membawa beberapa prinsip penting iaitu dikaitkan dengan berfikiran bebas dan terbuka serta menentang peraturan yang menyekat suara mereka.

Dalam konteks agama, agama itu perlu bebas untuk ditafsirkan berdasarkan apa perspektif sekalipun dan tidak boleh ditentukan oleh mana-mana autoriti atau kuasa mutlak.

Allah SWT telah memerintahkan kepada umat manusia untuk bertanya pada pakar sekiranya kita tidak mengetahui sebagaimana ayat 43 Surah an-Nahl yang bermaksud “… Maka, bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, sekiranya kamu tidak mengetahui.”

Dalam hal ini, menurut Imam Abu al-Zujaj, orang yang mempunyai pengetahuan adalah mereka yang memahami tentang hakikat ilmu, iaitu kebenaran tentang sesuatu perkara.

Rentetan itu, setiap masyarakat wajib merujuk kepada pakar dalam bidang tertentu kerana mereka memiliki kajian yang mendalam, meneliti sesuatu pengkhususan dan sebagainya.

Usaha penghayatan serta pemantapan adab dapat direalisasikan melalui pengajian akidah yang serius dan pendidikan akhlak melalui jalan kerohanian.

Setiap kenyataan atau maklumat yang disebarkan dalam keadaan yang tidak mempunyai sumber rujukan yang dipercayai dan kabur kredibilitinya perlu ditapis terlebih dahulu kerana ia boleh menyebabkan pelbagai konflik seperti pendustaan, fitnah, pergaduhan, serangan peribadi dan sebagainya.

Dalam berhadapan dengan lambakan maklumat di hujung jari, masyarakat Muslim sewajarnya mendahulukan pendapat jumhur atau muktamad dalam kalangan agamawan berbanding pandangan yang meragukan ataupun lemah bagi mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan.

Sikap dan tindakan seperti ini patut dijadikan sebagai pegangan atau ikutan oleh masyarakat Muslim demi keutamaan dan kebaikan bersama.

Kesimpulannya, dalam konteks Malaysia, masyarakat Muslim perlu merujuk pandangan yang dikeluarkan oleh agamawan yang berkredibiliti, lebih-lebih lagi institusi agama yang berautoriti dalam hal ehwal yang berkaitan agama.

Segala persepsi yang tidak berasas, teori yang tiada bukti yang kukuh, serta semangat isu konspirasi yang direka tidak harus untuk disantuni apatah lagi diyakini kerana ini bukan ciri masyarakat Muslim yang berilmu.

Abu Zakariya al-Anbari dalam karyanya Min Wasaya al-Ulama’ li Talabah al-‘Ilm yang bermaksud “Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar dan adab tanpa ilmu seperti jasad tanpa roh.”

Ungkapan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu dan adab saling terikat antara satu sama lain, ia tidak akan akan sempurna sekiranya salah satu daripadanya tidak diberi perhatian secara bersama.

Keselarian antara ilmu dan adab menunjukkan kita merupakan masyarakat yang mempunyai pendidikan yang holistik sebagaimana yang tertera pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. BebasNews

Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin

*Dr. Mohd Syukri Zainal Abidin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya manakala Muhammad Alif Norizan merupakan Pelajar Tahun 2, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam di universiti yang sama.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here