Sultan Mosque (Masjid Sultan) in Singapore. This mosque is a famous tourists’ attractions. Went there for prayer.
Photo by Siti Rahmanah Mat Daud on Unsplash
Oleh Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar dan Ustaz Mahathir Mohamad

RAKYAT kini berdepan dengan pelbagai ujian dari segenap aspek, Pandemik Covid 19 yang semakin mengganas, kejatuhan ekonomi, keterbatasan pergerakan dan kemelut politik yang berterusan, hal ini sudah semestinya memberi tekanan yang cukup-cukup dahsyat kepada rakyat. Hal ini umpama sudah jatuh ditimpa tangga yang berganda-ganda.

Bertapa ramai yang hilang sumber pendapatan dek kerana wabak ini, begitu juga perniagaan perniagaan yang gulung tikar. Sekaligus perkara ini boleh mendatangkan tekanan mental dan emosi kepada jiwa-jiwa yang menanggungnya . Mungkin perkara ini tidak begitu dirasai oleh sebahagian rakyat yang mempunyai pendapatan tetap. Namun bagi mereka yang berteraskan kepada kerja-kerja harian seperi PKS sangat-sangat terkesan dengan keadaan seperti ini.

Hal ini dibuktikan juga dengan pelbagai kes-kes yang terjadi seperti peningkatan kes bunuh diri, keruntuhan institusi keluarga. Bahkan terdapat pengalaman saya sendiri yang sentiasa dirujuk oleh masyarakat setempat menerima aduan ingin bercerai disebabkan kehilangan sumber pendapatan, bahkan terdapat juga mereka yang bertanya kepada saya hukum menggugurkan anak disebabkan tiada punca pendapatan, terdapat juga mereka yang memberi aduan bahawa mereka dihalau dari rumah sewa kerana tidak membayar sewa setelah berbulan-bulan.

Kesemua peristiwa ini berlaku ketika pandemik ini. Perkara ini menunjukkan bertapa serius tekanan yang dihadapi oleh masyarakat ketika ini hanya disebabkan hilang punca pendapatan. Hal ini belum lagi termasuk mereka yang diuji dengan kematian ahli keluarga disebabkan covid 19.

Jangan Ambil Jalan Singkat,

Tidak dinafikan dengan ujian yang menimpa dan tekanan yang dihadapi. Sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, seharusnya kita tidak melakukan perkara yang melewati batas atau menyebabkan kemudaratan yang lebih besar. Misalnya, adakah dengan bunuh diri semua masalah akan selesai ? adakah dengan bercerai kehiduapan anak akan terbela ? adakah dengan menggugurkan anak kerana kehilangan punca akan meningkatkan pendapatan? Benar kita berada di dalam kesusahan, namun kita perlu yakin dengan Allah SWT bahawa setiap kemelut atau ujian yang berlaku pasti ada jalan keluarnya.
Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Insyirah “Setiap kesusahan pasti akan diikuti kesenangan”.

Yakinlah dengan ayat-ayat Allah SWT, bahawa janji Allah SWT adalah benar, dan Allah SWT sesekali tidak akan mungkir janji. Dan Allah SWT sesekali tidak akan menguji manusia melainkan apa yang boleh dipikulnya sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah.

Seketika saat diuji bagi mengelakkan pemikiran negatif menguasai, perlu disentap pemikiran itu dengan mengingati bahawa terdapat orang yang lebih berat diuji daripada kita dikala ini. Lihat bagaimana kisah Nabi Ibrahim as yang diuji dengan sikap ayahnya, Nabi Nuh as diuji dengan isteri dan anak-anaknya, Nabi Ayyub as diuji dengan penyakit misteri sehingga ditinggalkan oleh keluarganya.

Pemikiran sebegini dapat memberi sokongan moral kepada kita dalam menempuh ujian yang dihadapi saat ini tidak la segetir mereka yang pernah hadapi suatu ketika dahulu. Asas jangan mengambil jalan penyelesaian yang diluar norma.

Percayalah ujian yang berlaku adalah tanda Allah SWT sayang kepada hambanya, boleh jadi ia adalah satu bentuk kafarah terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Ujian juga merupakan sebahagian tanda keimanan kita kepada Allah SWTsebagaimana firmanNya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Berganding Bahu

Namun dalam masa yang sama, masyarakat perlu berganding bahu tanpa mengira perbezaan agama, status warganegara, mahupun latar belakang. Ini kerana wabak yang melanda tidak mengira agama, warganegara mahupun latarbelakang.

Menurut pemerhatian penulis, 3 pihak utama mesti memainkan peranan masing-masing dalam membantu masyarakat dikala pandemik ini :

1) Kaum kerabat: Kaum kerabat merupakan orang paling hampir dengan seseorang melalui pertalian kekeluargaan. Penting kerabat mengambil berat keadaan kerabat sendiri di kala pandemik ini. Berdasarkan pengalaman penulis terdapat suatu aduan di mana mereka seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak tanpa mendapat perhatian dari kaum kerabat terdekat. Hal ini sekaligus menyebabkan mereka berada terumbang ambing tanpa mendapat perhatian dari mana-mana pihak.

2) Jiran: Jiran merujuk mereka yang berada disekitar Kawasan didiami seseorang. Peranan jiran sangat diperlu dalam mengesan golongan yang terjejas ketika ini. Biarlah digelar “busy body” sekalipun. Namun demi kesejahteraan dikala pandemic ini, sikap cakna, atau ambil perduli sangat diperlukan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sekalipun mungkin kita tidak mampu menghulurkan bantuan kepada jiran dan kerabat dek kerana kesempitan yang dialami, sekurangnya kita dapat menghubungkan keadaan kaum kerabat dan jiran kita kepada pihak yang berwajib supaya maklumat ini sampai kepada mereka agar bantuan dapat dihulurkan. Ini kerana tidak semua mereka mempunyai akses terhadap bantuan-bantuan yang disalurkan.

3) Pihak berwajib: Merujuk jabatan-jabatan kerajaan, pihak masjid, majlis agama, wakil rakyat serta pihak-pihak berwajib lain. Dalam mengatasi hal-hal ini, pihak-pihak berwajib juga perlu lebih peka. Tidak dinafikan usaha-usaha keras yang telah dilakukan oleh mereka. Namun terdapat juga sebahagian maklumat-maklumat yang mungkin terlepas pandang terutamanya mereka yang berada di “hutan batu” atau bandar-bandar di seluruh Malaysia yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Hal ini juga turut melibatkan pekerja-pekerja asing yang terjejas perlu diberi perhatian

Berdasarkan pengalaman penulis yang bertugas sebagai amil, terdapat sesetengah aduan yang diterima bahawa terdapat sebahagian penduduk yang langsung tidak mempunyai akses kepada bantuan. Telefon tiada topup, apatah lagi mempunyai “telefon pintar”, bahkan mereka ini tidak tahu langsung mengenai bantuan yang layak mereka perolehi.

Hal ini kerana tidak semua rakyat berpendidikan dan mempunyai maklumat berhubung cara-cara memperolehi bantuan, disudut pemikiran mereka, bantuan mesti perlu melengkapkan borang-borang dan mempunyai birokrasi tinggi. Hakikatnya, bantuan-bantuan pada hari ini begitu mudah disalurkan.

Demikian juga warga asing yang terjejas. Mereka ini berhak dibantu dikala pandemik ini. Tidaklah wajar kita lepas tangan atas faktor mereka bukan warganegara. Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berganding bahu dikala pandemik ini dengan saling menguatkan antara satu sama lain dengan memainkan peranan masing-masing di dalam masyarakat.

Mudah-mudahan Tindakan-tindakan yang diluar batas ini dapat dibendungi supaya kita dapat bersama -sama memerangi wabak ini bagi mencapai kesejahteraan hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang harmoni.

– BebasNews

 

Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar

Mahathir Mohamad

Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar merupakan Pengurus Kursus Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Ustaz Mahathir bin Mohamad merupakan Pegawai Bomba (Agama) Negeri Pahang dan juga Imam Masjid Taman LKNP Bukit Setongkol serta Amil bertauliah Majlis Agama Islam di Negeri Pahang (MUIP).

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here