KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan kerjasama kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MOU) baru-baru ini.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berharap kemelut politik akan berakhir segera susulan kerjasama rentas parti menerusi transformasi dan kestabilan politik pada 13 September lalu.

Titah baginda, Ahli-Ahli Dewan Rakyat juga dititah agar dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Baginda turut mengulangi titah bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Raja-Raja Melayu mengenai kepentingan pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Al-Sultan Abdullah menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menitahkan agar Ahli-Ahli Parlimen supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

“Bahkan faktor-faktor ini juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan daya saing negara.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang ditetapkan kerajaan.

“Beta turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” titah baginda.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here