Oleh Fetty Rara

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 berjaya mencatat jualan berjumlah RM1.6 bilion.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan pada Rabu (15 Sept) jumlah tersebut merangkumi 12 sektor dan produk termasuk makanan halal, pendidikan, francaisor, fesyen muslimah, kewangan Islam, kosmetik halal, media dan penciptaan, pelancongan mesra-Muslim, e-dagang, teknologi makanan, farmaseutikal, serta perkhidmatan dan pelaksana.

Dalam tempoh empat hari pertama pameran maya itu, perkhidmatan kewangan Islam merekodkan jualan tertinggi sebanyak RM380.9 juta atau 38.7 peratus daripada jumlah penguasaan, minuman (RM217.5 juta, 22.1 peratus), farmasi, peralatan mandian dan kosmetik (RM123. 2 juta, 12.5 peratus), makanan siap (RM80.0 juta, 8.1 peratus) dan produk minyak sawit (RM57.1 juta atau 5.8 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata peserta pameran Malaysia mencatatkan jualan berjumlah RM341.1 juta dalam tempoh empat hari pameran.

“Jelas sekali, MIHAS telah tampil kembali dengan kukuh walaupun tidak diadakan selama dua tahun dan pertama kali ia berlangsung dalam format maya.

“Format maya ini, yang mengejutkan kami, adalah sangat memberangsangkan. Sebagai contoh, selain daripada jualan yang terhasil daripada MIHAS 2021, ia juga mendapat penyertaan 549 gerai jualan maya berbanding sasaran iaitu 500 gerai,” katanya.

Melalui pendekatan maya ini peserta dari 43 buah negara, termasuk Mexico, Guatemala, Trinidad dan Tobago, serta Colombia mampu berinteraksi dengan pembeli dari pelbagai negara dengan zon waktu.

MIHAS Ke-17 yang dianjurkan oleh MATRADE dan dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dikunjungi lebih 8,500 pengunjung dalam masa empat hari.

Pameran itu berlangsung dari 9 Sept hingga 31 Dis, 2021.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here