KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mesti mengikut trend semasa dalam tukaran matawang kripto (crypto currency) yang ketika ini mencecah nilai kira-kira AS$2 trilion dengan Bitcoin mempunyai hampir AS$1 trillion di seluruh dunia.

Beliau berkata, sasaran yang perlu dilaksanakan adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam negara bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar.

“Bayangkan jika Malaysia berjaya menawan lima peratus sahaja daripada nilai AS$2 trilion aset kripto dunia? Ini bersamaan dengan pengaliran dana asing sebanyak AS$100 bilion atau RM410 bilion yang boleh memanfaatkan negara.

“Siapa cepat, dia dapat. Pada zaman pandemik ini, banyak negara dalam dunia sedang menuju ke arah pendekatan yang lebih berani seperti negara Switzerland, Singapura, Australia dan Korea.

“Kita jangan lambat untuk merebut peluang. Untuk memaklumkan kepada dunia, ‘Malaysia is Back’,” katanya pada perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, sudah ada beberapa negara dalam dunia menerima matawang kripto dan sejak tahun 2019, Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia meluluskan empat platform dagangan kripto untuk membenarkan rakyat membeli dan melabur dalam aset digital kripto dengan matawang ringgit.

Namun katanya, usaha itu boleh ditambah baik dengan matlamat Malaysia mengambil peluang untuk bekerjasama dengan platform dagangan kripto antarabangsa bagi memudahkan, mengalakkan dan membenarkan pemegang kripto asing membawa masuk aset mereka ke negara secepat mungkin untuk dilabur dalam aset fizikal di pasaran tempatan.

“Sasaran kita adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia, bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mencadangkan langkah yang boleh menaikkan aliran tunai dalam ekonomi ialah pelaksanaan i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 setiap pemohon.

Katanya, skim itu terbuka kepada golongan B40, M40 yang boleh memohon kepada bank dan akan diluluskan secara automatik untuk dibayar terus ke dalam akaun pemohon dalam tempoh dua ke tiga hari kemudian.

“Pinjaman ini disediakan oleh bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan. Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah tiga peratus atau bersamaan RM90 setahun bagi pinjaman RM3,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.

“Kerajaan akan membantu pembayaran balik setiap tahun dengan geran atau potongan dari BPN (Bantuan Prihatin Nasional) sehingga dijelaskan sepenuhnya.

“Cadangan ini adalah mengambil kira kenyataan dari kerajaan bahawa kita tidak ada banyak duit lagi untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kaedah itu tidak memberi impak kepada hutang langsung negara kerana ia merupakan jaminan kerajaan pada bank yang bermakna kerajaan akan bayar balik bukannya pemohon.

“Kepada pihak bank, jangan bimbang atau khuatir bank tidak mempunyai cukup dana untuk memberi pinjaman i-Survive. Ini kerana, jika 10 juta rakyat yang memohon RM5,000 seorang, jumlahnya baru RM50 billion.
“Ia tidak sampai 10 peratus daripada jumlah pinjaman bank yang dibuat bank pada hari ini. Bank-bank Malaysia mencatat keuntungan tertinggi biarpun dalam keadaan pandemik,” katanya.

Najib turut meminta had pengeluaran i-Citra dinaikkan dari RM5,000 ke RM10,000, namun dengan syarat kerajaan mesti bersungguh memulakan usaha untuk meningkatkan semula aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memberi banyak peluang perniagaan bagi syarikat-syarikat dimiliki institusi itu.

– BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Betul tu Dato Seri – memang pengetahuan tentang cryptocurrency perlu dipertingkatkan lagi pada orang ramai. rasanya tak ramai org malaysia yang betul2 tau dan paham tentang potensi kriptocurrency ni…jadi sgt penting utk kita mendidik orang ramai tentang kelebihan kripto berbanding wang konvensional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here