Ayob Khan (dua dari kiri) bersama-sama Yahaya Madis melihat sungai yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di Johor.

JOHOR BAHRU – Empat lelaki termasuk seorang pemilik premis ditahan polis hari ini kerana disyaki membuang sisa industri berjadual ke dalam tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini sehingga menyebabkan empat penduduk dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

Kesemua suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah kilang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan itu dibuat selepas pemeriksaan yang dijalankan pihaknya bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di premis berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan kampung berkenaan di sini. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusof.

Ayob Khan tidak menolak kemungkinan beberapa buah lokasi akan diperiksa dan mungkin ada lagi tangkapan perlu dibuat selepas ini.

Yahaya menunjukkan ‘oil boom’ yang dipasang bagi menyekat sisa toksik yang dibuang ke dalam sungai di Kampung Baru Seri Aman, Kempas, Johor.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Yahaya berkata, sisa buangan industri terbabit didapati mengandungi ‘Methyl Alcohol’ dan ‘Metanol’, hasil pemeriksaan yang dijalankan menggunakan peralatan khas, Gasmet dengan bantuan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Kempas dan Melaka.

Beliau berkata, pemeriksaan anggota bomba di sepanjang satu kilometer mendapati terdapat kesan tompokan sisa buangan industri itu yang terlekat di kawasan tebing rumput di situ.

“Bomba mengesan dua sisa buangan kimia yang mengalir di tali air Sungai Tawakal menuju Sungai Pandan. Ia menyebabkan hidupan air di situ ditemui mati.

“Tindakan pantas pihak bomba yang membuat pengepungan di kawasan tali air dengan menggunakan ‘oil boom’ bagi menyekat sisa buangan itu terus mengalir,” kata beliau.

Terdahulu, empat penduduk kampung tersebut dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu bau toksik yang mengalir di tali air berhampiran dan lebih 100 penduduk dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here