GAMBAR: NSTP.

Oleh Ahmad Abd Hamid

SUDAH diduga. Buka sahaja pintu ‘sangkar’, akan terbang bebas, merayau semahu hati. Segala larangan dan peraturan diketepikan. Senang cakap, terlampau seronok sampai lupa dunia dan keselamatan diri.

Ngeri melihat pergerakan orang ramai melalui video tular. Mereka berduyun-duyun memenuhi lokasi tertentu, khususnya di tempat percutian atau perkelahan. Maklum sudah lama terkurung.

Namun yang menyakitkan mata ialah bercampur gaul beramai-ramai dengan mengetepikan operasi prosedur standard (SOP). Tidak memakai pelitup muka dan tidak peduli penjarakan fizikal.

Bagi negeri-negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), rakyatnya yang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19, dibenarkan melancong dalam negeri sama, melibatkan hotel dan inap desa (homestay).

Bagaimana pun rentas negeri belum dibenarkan. Mungkin hanya diketahui Oktober ini setelah lebih 80 peratus penduduk Malaysia menerima dos vaksin lengkap dan mencapai sasaran imuniti kelompok atau herd community.

Rentas negeri hanya dibenarkan untuk melancong ke negeri yang menyertai gelembung pelancongan atau tourism bubble. Pulau Langkawi melaksanakan program ini mulai 16 September.

Wilayah Persekutuan Labuan juga bakal menyertai program ini, seperti diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Shahidan Kassim baru-baru ini. Labuan merupakan yang terawal mencapai imuniti kelompok dan kini berada dalam Fasa 4.

Begitu pun, untuk tourism bubble, beberapa peraturan mesti dipatuhi. Misalnya menggunakan khidmat agen pelancongan. Yang bergerak melalui jalan darat mesti mendapat surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada polis. Peraturan ini dikecualikan bagi yang menaiki kapal terbang.

Sehingga kini kebenaran rentas negeri hanya melibatkan Wilayah Persekutuan (WP) dan Selangor. Kedua-duanya kini berada dalam Fasa 2 mulai 10 Oktober dan dikelaskan sebagai kawasan jangkitan yang sama.

Kerana itu rentas negeri dibenarkan. Warga Wilayah Persekutuan boleh memasuki Selangor tanpa sekatan jalan raya (SJR) dan sebaliknya. Begitu juga bagi warga Selangor.

Sementara kelonggaran ini disambut baik, kerisauannya ialah ia boleh menyebabkan orang ramai tidak peduli mematuhi peraturan sehingga keadaan sukar dikawal. Memang begitulah sikap sebahagian mereka yang tidak menghargai kemudahan diberi.

Kini dengan warga Wilayah Persekutuan dan Selangor bebas merentas negeri untuk melancong, berkelah atau balik ke kampung bertemu kaum keluarga dan saudara mara, kerisauan ini timbul. Dalam keadaan seperti ini senario seperti dalam video tular boleh berlaku.

Kebetulan Selangor mempunyai banyak tempat untuk bersantai, berkelah dan mandi manda, termasuk yang popular seperti Morib, Bagan Lalang, Ulu Yam, Sungai Tekali (Hulu Langat) dan Taman Templer (Rawang).

Dengan kedudukan berhampiran WP, tempat-tempat ini menjadi tumpuan warga WP dan Selangor sendiri. Khabarnya sejak kelonggaran rentas negeri dan daerah, semua tempat ini menjadi tumpuan ramai.

Apabila sudah beramai-ramai dan berseronok, segala peraturan dan ingatan dilupakan. Pesanan agar terus menjaga diri tidak dipedulikan. Malah SOP dicampak ke tepi seolah-olah negara sudah bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

Ini belum mereka yang berduyun-duyun balik ke kampung halaman. Maklum rindu lama tak jumpa. Sudah berada di kampung, kenalah duduk lama-lama. SOP pun dilupakan. Sedarkah, mereka mungkin berhadapan dengan kaum keluarga yang mungkin belum mendapat suntikan vaksin penuh? Jangan sengaja menjangkit dan dijangkiti.

SOP sudah menjadi amalan seharian dan tidak seharusnya sukar dipatuhi. Sehingga SOP ditarik balik, teruskan mematuhinya, apatah lagi ketika berada dalam kelompok ramai. Tidak perlu diulang berkali-kali keperluan mematuhi peraturan ini demi kebaikan sendiri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mastor Mohd Aroff telah pun mengeluarkan amaran akan bertindak terhadap mereka yang mengabaikan SOP ketika bersantai atau menjalani aktiviti rekreasi di kawasan awam.

Sesuai sekali peringatan ini, terutama bagi golongan keras kepala. Diharap PDRM kuatkuasakannya dengan tegas. Jangan dibiarkan sehingga ia merebak di luar kawalan.

Namun PDRM juga mungkin menghadapi kekangan melakukan pemantauan ke atas semua orang dan di semua tempat. Orang ramai yang mesti berdisiplin mematuhi peraturan. Kepatuhan tidak harus kerana takut dengan tindakan pihak berkuasa tetapi mesti datang daripada kesedaran sendiri.

Kelonggaran pergerakan berteras fasa PPN bertujuan untuk tidak terus mengurung orang ramai di rumah. Matlamat akhirnya kembali kepada kehidupan normal. Justeru bantulah. Tidak sukar, cuma patuhi SOP. Jangan menjadi daun keladi, air yang dicurah tidak berkesan.

 -BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here