Bagi Tajul dan Afieq Shazwan, lagu Malam Semakin Dingin dendangan mereka merupakan penghormatan kepada Allahyarham Achik.

Oleh Khadijah Ibrahim

LAGU-LAGU dendangan kumpulan Spin sejak dulu hingga kini masih lagi digemari ramai, termasuklah pendengar generasi baharu.

Justeru itu, kalau yang suka berkaraoke, lagu-lagu dendangan Achik Spin seperti Janji Kita, Memori Berkasih (duet), Gurauan Berkasih dan Malam Semakin Dingin, antara yang menjadi pilihan.

Terkini, lagu Malam Semakin Dingin dipilih untuk dipersembahkan dalam versi baharu oleh adik Allahyarham Achik iaitu Tajul. Jika sebelum ini, lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S itu didendangkan secara solo, demi menampakkan kelainan, lagu tersebut dinyanyikan secara duet oleh Tajul dan Afieq Shazwan.

“Sejujurnya saya agak gementar juga bila FMC panggil untuk bincangkan tentang lagu ni, tetapi bila Mr. Ho cakap akan diduetkan dengan Afieq saya lega dan bersetuju,” kata Tajul tentang reaksi awalnya bila diminta menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin.

Tajul harap dengan konsep baharu ini, akan mengimbau kembali kenangan dan kerinduan pada Achik dan kumpulan Spin. Hanya satu pinta Tajul, jangan bandingkan suaranya dengan Achik.

Malam Semakin Dingin dipersembahkan dalam gaya baharu iaitu berduet antara Tajul dan Afieq Shazwan.

“Saya gembira diberi peluang untuk merakam semula lagu ini, cuma saya harap jangan bandingkan vokal saya dengan Achik, walaupun kami adik-beradik tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Apa pun saya memang sangat mengagumi vokal Achik.

“Lagu ni memang selalu sangat saya nyanyikan kat karaoke, saya akui memang mencabar juga untuk nyanyikan lagu ni sebab agak tinggi juga la kan. Tetapi saya bersyukur kerana dapat berduet dengan Afieq yang sangat membantu dan memudahkan proses rakaman. Kami tak ambil masa yang lama untuk siapkan lagu ni.

“Sewaktu rakaman lagu ni, jujur saya cakap ada timbul rasa sebak dalam hati dan rindu kat Achik. Walaupun sewaktu hayat Achik kami tidaklah terlalu rapat kerana jarang berjumpa sebab Achik sibuk dengan kerjaya seninya. Apa pun saya bersyukur dan gembira kerana dapat nyanyikan semula lagu abang saya,” kata Tajul sebak.

Lagu duet Tajul dan Afieq itu telah dimuat naik di saluran YouTube FMC sejak pukul 3 petang, 15 September dan sehingga kini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Mulai 12 tengah malam, 16 September, lagu tersebut dapat didengari di semua digital platform iaitu Joox, Spotify dan sebagainya.

Bagi Afieq, pada mulanya beliau sekadar suka-suka menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin dan memuat naik di akuan TikTok dan Facebook miliknya. Tak sangka pula ramai yang suka dengan gaya persembahannya itu.

“Pada awalnnya saya hanya nyanyi (cover) lagu ni dan post di TikTok dan Facebook. Alhamdulillah view memberangsangkan. Di Facebook sahaja mencecah setengah juta view dan banyak komen yang minta saya buat full version.

“Bila saya diberi peluang untuk duet lagu ni bersama Tajul terus saya cakap, yes! Sebab Tajul ialah adik Achik dan kami anggap ini adalah tribute untuk Allahyarham Achik,” ceritanya.

Tajul dan Afieq Shazwan harap suara dan cara nyanyian mereka tidak dibandingkan dengan penyanyi asal iaitu Achik Spin.

Tambah Afieq, proses rakaman dilakukan berulang kali dan secara berasingan. Ini kerana setelah vokal siap dirakamkan dan didengarkan kembali, timbul idea untuk penambahbaikan dan touch up mana-mana bahagian yang dirasakan kurang. Beliau juga meluahkan rasa teruja bila dapat merakamkan lagu yang sebegini.

“Saya suka sebenarnya lagu macam ni, inilah diri saya. Sebelum ni dalam pertandingan dan program realiti yang saya sertai, saya tak berpeluang nyanyikan lagu- lagu yang sebegini. Saya sangat berpuas hati sebab dapat meluahkan dan menyanyi dalam feel 90-an.

“Sewaktu rakaman saya juga menyampaikan lagu ini dengan cara 90-an. Bukan terikut cara Achik menyanyi, tetapi saya menghormati lenggok dan cengkok Melayu yang dinyanyikan penyanyi asal. Kalau kita dengar lagu-lagu era 90-an cara nyanyian mereka memang berbeza dengan penyanyi masa kini. Harapan saya semoga pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin dalam nafas baharu versi 2021 ini,” kata Afieq penuh harapan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here