JALALUDDIN Alias (kanan) menyaksikan suasana antara bilik khas untuk pesakit Covid-19 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam. – FB Jalaluddin Alias
Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR – Usaha murni Kumpulan Megaklinik Zahran dalam membantu pihak kerajaan untuk menguruskan pesakit Covid-19 mendapat pujian Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu malahan menghargai komitmen kerjasama syarikat Bumiputera berkenaan termasuk dengan mewujudkan dua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Tidak ketinggalan, operator klinik ternama itu juga membuka empat Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berbayar di kesemua cawangannya.

“Semalam, saya sempat hadiri sesi taklimat dan melawat antara PKRC diuruskan Megaklinik Zahran di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur,” kata beliau menerusi akaun sosial dirinya.

Selain lokasi ini, syarikat itu turut melaksanakan operasi PKRC di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur; Bangi Resort Hotel, Selangor dan Lodge Residence Nilai, Negeri Sembilan.

Juga hadir ialah Ketua Pegawai Operasinya yang berpusat di Bangi, Selangor, Datuk Mohd. Nafidz Abdul Razak serta Ketua Pegawai Perubatannya, Dr. Sazarul Zafira Zainal Abidin.

Operator ini mempunyai tujuh cawangan iaitu Seksyen 7, Seksyen 8 dan Seksyen 9 di Bangi, selain Kajang dan Cheras, Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan dan Bandar Raya Melaka.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berpuas hati dengan perkhidmatan PKRC diuruskan kumpulan itu yang ketika ini sudah berjaya menerima lebih 15,000 pesakit Covid-19 dari kategori 1 dan 2.

“Namun begitu, saya dimaklumkan mereka giat persiapkan kemudahan dan fasiliti bagi boleh menerima pula kategori 3 dan 4, bahkan dalam proses kelulusan pengoperasian,” katanya.

Dalam pada itu, ia juga sudah memberi lebih 185,000 dos vaksin dan kejayaan ini memberi galakan untuk mereka membuka empat cawangan lagi antaranya di Putrajaya dan Cyberjaya.

Inisiatif yang diambil syarikat tersebut ujar beliau, merupakan satu tanggungjawab besar untuk turut sama menyumbang kepada usaha Pelan Pemulihan Negara pasca wabak berkenaan.

Beliau malahan memberi jaminan akan sentiasa memberi sokongan padu 100 peratus kepada Megaklinik Zahran kerana daya usaha berterusan yang jelas berpaksikan kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, ini juga adalah bukti komitmen baik pihak swasta dalam pada ketika Malaysia masih berdepan situasi kritikal pandemik dan memerlukan kerjasama semua,” kata Jalaluddin.

– Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here