GAMBAR: Aziz A. Shariff.

ANDAI batu, sungai, laut, air dan pasir di pantai boleh berkata-kata, mungkin ‘permintaan yang disuarakan’ adalah “Pak Long ! kurunglah rakyat Malaysia”.

Sebabnya kehadiran semula manusia mencemarkan ‘kawasan mereka’.

Mungkin begitu juga hasrat patung helang di Dataran Lang Langkawi yang ditularkan sedang ‘terbang’ keluar dari pulau legenda itu. Apa maknanya apabila patung helang digambarkan mahu meninggalkan pulau itu?

Helang juga bimbang dan takut dengan kebanjiran semula manusia ke Pulau Langkawi selepas kelonggaran diberikan?

Alam seperti hutan, batu, air, sungai tidak boleh berkata-kata. Jika boleh berbuat demikian sudah tentu manusia akan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sekurang-kurangnya pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal dan kerap membasuh tangan. Cuma mengelakkan tempat tumpuan ramai tidak dapat dielakkan kerana semua tertumpu ke sana.

Langkawi ada pengalaman pada tahun 2020 apabila rentas negeri dan daerah dibenarkan menyebabkan kebanjiran pelancong dan peningkatan kes. Jangan diulangi kesilapan lalu. Sama-sama menjaga diri dan tidak menyusahkan orang lain.

Ingatlah pulau peranginan terkenal Phuket yang dibuka semula untuk pelancong asing yang lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, juga menyaksikan peningkatan kes Covid-19. Semua ini perlu dijadikan panduan.

Kembali kepada alam, andai alam boleh berkata-kata, manusia juga akan diperingatkan supaya menjaga alam yang mereka nikmati sama ada untuk mandi manda, riadah, santai, lepak, berkelah, berkhemah, mendaki dan apa sahaja.

Sudah lama alam tidak ‘diganggu’ sebaliknya dalam keadaan ‘tenang’ apabila manusia dipaksa dan terpaksa berkurung di rumah, menghentikan aktiviti riadah mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Malangnya baru-baru ini, selepas sehari dua diberi kelonggaran tular suasana alam kita yang ‘disakiti dan dicemari’ dengan sampah sarap termasuklah pelitup muka yang bersepah di merata tempat.

Benar tidak semua manusia yang bersikap demikian yang memperlakukan alam sesuka hati mereka. Masih ada yang sedia menghormati tetapi kenapa tidak semua manusia yang bersikap menjaga alam sekitar?

Di mana silapnya apabila pengunjung sesuatu lokasi mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan? Mana mungkin pihak penguat kuasa perlu memantau situasi ini di setiap lokasi tumpuan ramai? Mereka pun sudah letih memantau.

Tunjukkanlah sikap bertanggungjawab. Di samping menjaga SOP supaya tidak berlaku penularan Covid-19, didiklah diri untuk menjaga kebersihan, tolong jangan buang sampah di mana yang sempat atau tinggalkan sampah sesuka hati.

Jika tidak ada tong sampah, kumpul dan letakkan di satu kawasan yang mudah dilihat oleh pihak berkuasa tempatan yang menyelia kawasan berkenaan.

Ingat juga bahawa pandemik belum berakhir. Endemik pula bukan satu fasa kebebasan mutlak. Jika kita terpaksa hidup dikelilingi virus, apakah begitu mudah untuk menyerah? Justeru pematuhan SOP amat penting.

Di kebanyakan negara, kelonggaran membawa lonjakan kes. Jiran terdekat kita Singapura sejak beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes. Justeru berhati-hati dengan kelonggaran yang diberi. Kita tidak mahu dikurung lagi!

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here