Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini kembali mempengerusikan sesi petang sidang Parlimen sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat buat sementara waktu.

Menjelaskan kekeliruan ahli parlimen di Dewan, Azalina berkata, Yang di-Pertua, Datuk Azhar Azizan Harun memintanya berbuat demikian di bawah peraturan mesyuarat 7(3).

“Saya telah diminta Speaker di bawah 7(3) untuk pengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu,” katanya.

Penampilan semula Azalina mencetuskan tanda tanya dan mencuit hati dalam kalangan wakil rakyat termasuk Mohd. Salim Sharif (BN-Jempol) yang sedang membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

“Selamat kembali YB (Yang Berhormat),” ujarnya.

Kehadiran semula Azalina turut menarik ‘minat’ Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang tidak memahami situasi tersebut sambil memohon penjelasan daripada timbalan speaker yang baharu itu.

Dalam pada itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang terkejut dengan situasi itu berkata, beliau tiada masalah sekiranya Azalina kembali ke jawatannya cuma mempersoalkan adakah ia betul dari segi prosedur.

“Sidang Parlimen sedang membahaskan titah diraja. Tiada sebarang makluman daripada Speaker tentang penggantian ini. Adakah peraturan mesyuarat diguna pakai dengan betul,” katanya.

Seorang lagi wakil dari blok pembangkang, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), mengulangi kenyataan beliau semalam yang mahu pemilihan timbalan speaker kedua disegerakan kerana kerja berat yang dipikul oleh dua penjawat itu ketika ini.

“Saya berasa kecewa Pengerang (Azalina) meletak jawatan kerana YB sangat layak memegang jawatan ini. Kekosongan ini perlu diisi dengan segera, namun saya difahamkan Bersatu tidak setuju (calon pilihan UMNO) dan ia sepatut ia diselesaikan secara dalaman.

“Jangan disebabkan Parlimen tidak ada timbalan speaker terpaksa lantik sementara. Harap usul pelantikan dibawa balik,” katanya.

Azalina kemudian menjelaskan kemusykilan ahli Parlimen dengan jawapan santai sambil berseloroh.

“Ia di bawah 7(3), macam mutaah (kahwin kontrak), sekejap sahaja. Ya abang Mat (merujuk kepada Mat Sabu). Isnin atau Selesa mungkin orang lain.

“Saya akan maklum kepada speaker, ini kuasa speaker. Saya ada banyak lagi kerja jadi pengerusi sementara,” katanya.

Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dalam kenyataannya berhubung perkara itu menyatakan ia terkandung dalam peraturan mesyuarat 7(3).

Peraturan itu menyebut pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Yang di-Pertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara.

Pelantikan sementara itu tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Yang di-Pertua sehingga Yang di-Pertua kembali semula mengetuakan mesyuarat.

Azalina pada 23 Ogos lalu melepaskan jawatannya sebagai timbalan speaker.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here