Drama The Hotel, 24 episod mula ditayangkan di slot MegaDrama, Astro Ria, mulai 15 September.

Oleh Khadijah Ibrahim

EH! Ada drama baharu terbitan Juita Viden Sdn. Bhd., iaitu The Hotel yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam, di saluran Astro Ria (104) mulai 15 September 2021. Kalau tengok tajuk tanpa mengetahui jalan cerita, pasti ada yang membuat andaian drama itu tiru cerita Korea, Hotel De Luna atau Penthouse.

Menyedari akan timbul pemikiran negatif daripada netizen, awal-awal lagi penerbitnya, Michael Ang menjelaskan yang drama rantaian 24 episod itu tiada kena mengena dengan dua drama Korea yang mendapat sambutan itu.

Sebaliknya, jelas Michael, The Hotel adalah naskhah asal yang mengangkat tentang isu kesihatan mental yang menyuntik elemen konflik cinta romantik penuh misteri dan manipulasi yang menyentuh hati sebagai plot utama cerita.

“Perbincangan untuk menerbitkan naskhah The Hotel dibuat ketika drama Angkara Cinta untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam proses pembikinan. Kebetulan pada waktu itu jadual penggambaran banyak tergendala akibat perlaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik mencetuskan idea untuk saya membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja. Selalunya, ramai dalam kalangan yang berduit dan kaya tinggal di hotel. Idea asal tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang menghiburkan.

Watak Raisa yang dibawa oleh Mira Filzah berbeza dengan watak yang dilakonkan sebelum ini.

“Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama Hotel De Luna dan Penthouse, namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif penceritaan The Hotel amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi sewaktu kita berhadapan dengan PKP,” jelas Michael.

Tambahnya, genre yang diketengahkan menerusi drama The Hotel ini merupakan ‘testing ground’ buat pihaknya untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima konsep sebegini bagi drama Melayu. Dalam The Hotel, penonton dapat melihat konflik cinta pembunuh psikopat dan pembohong patologi yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan.

“Selama ini mereka sering mendakwa bahawa penonton asyik disajikan dengan cerita orang kaya dan kisah cinta yang klise. Jadi, kami bawakan kisah The Hotel yang mengangkat isu-isu tabu yang selama ini ibarat hanya sekadar disapu ke bawah karpet untuk memberi kelainan.

“Berkenaan pemilihan MK K-Clique sebagai hero utama pula adalah hasil perbincangan bersama dengan pihak Astro yang mahukan wajah baharu dengan aura tersendiri untuk memberi kelainan. Walaupun pada awalnya nampak kekok dan masih banyak ilmu teknik lakonan yang perlu ditimba, namun saya kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh MK dalam masa yang singkat.

“Saya juga gembira dengan ‘chemistry’ yang wujud di antara Mira dan MK dalam drama ini,” katanya yang berharap The Hotel dapat diterima baik oleh semua pihak kerana produksi sudah pun berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan drama ini.

The Hotel merupakan drama pertama lakonan MK sebagai watak utama iaitu Sean.

Idea asal drama The Hotel diilhamkan oleh Michael serta turut mendapat sentuhan Helmi Yusof yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Michelle Yoon.

Drama The Hotel turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mira Filzah, MK K-Clique, Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof, Alif Hadi serta ramai lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berharap, mesej yang disampaikan menerusi naskhah ini dapat membantu mengubah stigma dan diskriminasi sosial terhadap mereka yang sedang berjuang dengan masalah mental.

“Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita perlu lebih cakna dan berusaha memahami situasi sukar mereka demi kesejahteraan bersama. Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental yang dulu dianggap tabu sudah semakin kerap dibicarakan secara terbuka menerusi pelbagai lambakan berita dan perkongsian di laman sosial.

“Isu berkaitan gangguan mental tidak boleh dipandang remeh atau cuma dianggap sebagai isu bermusim kerana ia mampu mengancam kualiti kehidupan seseorang. Realitinya, masalah tersebut boleh dihidapi sesiapa sahaja dan sukar dikesan melalui penampilan luaran semata-mata.

“Menyedari tahap keseriusan isu tersebut, tema kesihatan mental diangkat menerusi drama terbaharu The Hotel untuk membuka mata audiens mengenai impak dan betapa bahayanya gangguan yang berkaitan dengan mental sekiranya tidak diberikan rawatan yang betul,” katanya yang bangga dengan pihak produksi kerana berjaya memberi perspektif berbeza mengenai isu ini dengan pendekatan yang kreatif dan menghiburkan.

Sean Lee melakonkan watak Umar dalam The Hotel.

The Hotel yang juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, merupakan drama pertama yang menggandingkan Mira Filzah dan MK, selaku teraju utama.

Menerusi The Hotel, penonton dapat melihat sisi lakonan berbeza Mira yang menyahut cabaran membawakan watak Raisa, seorang pembunuh psikopat. Watak tersebut memerlukan Mira membuat kajian yang mendalam tentang isu kesihatan mental bagi mendapatkan penjiwaan watak yang meyakinkan.

Sekadar makluman, Mira tidak pernah menonton cerita Hotel De Luna sebelum ini. Beliau hanya mula membuat carian mengenai drama tersebut setelah netizen mula mengaitkan drama The Hotel dengan naskhah K-drama tersebut.

Bagi MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, walaupun kerjaya utama sebagai rapper bersama kumpulan K-Clique, namun beliau sedia mencuba nasib sebagai pelakon buat pertama kali menerusi drama The Hotel. Dalam drama ini, MK melakonkan watak sebagai Sean, seorang pembohong patologi yang jatuh cinta dengan Raisa.

Walaupun ini merupakan lakonan pertama MK, beliau diberi kepercayaan untuk menerajui drama The Hotel. Sebagai pelakon yang lebih senior, Mira banyak membantu MK dengan berkongsi tip berkenaan teknik lakonan sewaktu di set sekali gus memudahkan urusan penggambaran.

Sementara itu, Sean Lee yang memegang watak sebagai Umar juga berjaya menghidupkan watak seorang yang panas baran dengan berkesan. Sebelum ini, Sean sering menjayakan watak sebagai seorang ‘Mr. Nice Guy’.

Dalam masa yang sama, Datin Paduka Eina Azman juga pertama kali menyahut cabaran untuk menjayakan watak Julia, seorang janda kaya yang suka menggoda. Manakala, lagu Sebelum dendangan K-Clique turut dimuatkan sebagai lagu tema untuk drama The Hotel.

Drama The Hotel mengisahkan tentang Raisa, seorang gadis yang tinggal bersama ibunya, Maya (Yasmin Hani) yang memiliki salah sebuah empayar perniagaan terbesar di negara ini. Hidup dalam kemewahan, Raisa sebenarnya mempunyai sifat psikopat yang mana beliau sukar memahami emosi dan segala tindak-tanduknya berdasarkan kehendak semata-mata sehingga beliau mampu untuk membunuh.

Sean muncul sebagai penghuni baharu di hotel mewah di kediaman Raisa. Walaupun seusia dengan Raisa, Sean mengakui yang dirinya pakar bedah dan ini amat dicurigai oleh Raisa kerana cerita Sean sentiasa berubah-ubah.

Apakah pengakhiran kisah cinta pembunuh psikopat, Raisa dan pembohong patologi, Sean? Adakah hubungan tersebut mampu bertahan walaupun salah seorang daripada mereka terlibat dengan kes pembunuhan? Jangan ketinggalan untuk mengikut drama bersiri ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here