MAJLIS undian Piala Malaysia 2021 menerusi siaran langsung Facebook hari ini, meletakkan laluan seimbang buat keempat-empat kumpulan pusingan awalnya kecuali juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang agak selesa dalam Kumpulan D.

Harimau Selatan yang baru sahaja ditabalkan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Ahad lalu malah dengan kelebihan mata yang begitu besar, hanya akan ditentang PJ City FC, Sabah FC dan pemenang tempat keempat Liga Perdana 2021.

Berdasarkan pencapaian semasa liga, JDT FC jauh lebih menonjol biarpun aura Piala Malaysia sentiasa unik dan berbeza sesuai dengan usia pertandingannya yang mencecah seabad sejak diperkenalkan sebagai Piala HMS Malaya pada 1921.

Musim 2020 yang berubah kepada format kalah singkir, terpaksa dibatalkan gara-gara Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika saingannya mahu memasuki suku akhir.
Piala Malaysia juga pasti tidak sesekali mengabaikan perjalanan juara 33 kalinya, Selangor FC dalam Kumpulan B yang dirintangi dua lawan Liga Super, Terengganu FC dan Perak FC serta pemenang tempat ketiga Liga Perdana.

JDT FC juara Liga Super 2021 terus menjadi pilihan utama untuk mempertahankan Piala Malaysia. – Foto JDT

Hanya ini satu-satunya peluang Gergasi Merah menebus pencapain sederhana di tempat kelima Liga Super sambil memburu slot ketiga Malaysia ke Piala AFC 2022 selaku juara Piala Malaysia.

Kedah Darul Aman (KDA) FC pula seperti JDT FC yang menewaskannya 3-0 dalam final Piala Malaysia 2019 dan menilai prestasinya sebagai naib juara Liga Super sekali gus wakil Piala AFC, turut berhak dilabel pilihan utama Kumpulan C.

Helang Merah hanya akan berdepan Melaka United dan juara Liga Perdana 2021 antara Negeri Sembilan FC atau Sarawak United FC serta pemenang tempat kelima liga sama tetapi mungkin agak asing dengan corak permainan kedua-dua lawan divisyen bawah itu.

Pilihan utama Kumpulan A, Penang FC tidak boleh hanya berharapkan label pemenang tempat ketiga Liga Super untuk ke Piala AFC 2022 sekiranya JDT FC atau KDA FC yang menjuarai Piala Malaysia 2021.

Harimau Kumbang tentu turut teringin menikmati trofi pengganti Piala HMS Malaya/Malaya mulai 1967 itu sekali gus menggengam tiket Piala AFC memandangkan satu lagi jalan kelayakan biasa, Piala FA telah dibatalkan musim ini.

Namun KL City FC, Sri Pahang FC dan naib juara Liga Perdana antara Sarawak United FC atau Negeri Sembilan FC masih perlu diharungi satu persatu untuk mara ke suku akhir terlebih dulu sebagai antara dua teratas Kumpulan A.


Tiga lagi tiket Piala Malaysia 2021 masih menjadi rebutan baki empat pasukan Liga Perdana iaitu PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC kerana terdapat beberapa perlawanan yang tertunda.

Sepak mula ialah 25 September dengan saingan peringkat kumpulan ini berakhir 10 November manakala suku akhir (14 dan 18 November) dan separuh akhir (22 dan 26 November) berlangsung secara timbal balik dan finalnya di venue berkecuali pada 30 November.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here