Abu Kassim Mohamed

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed berpandangan langkah untuk membanteras rasuah di Malaysia tidak akan berjaya sekiranya semua pihak tidak benar-benar komited.

Abu Kassim berkata setiap orang dari Perdana Menteri hingga orang biasa, perlu komited sepenuhnya jika inginkan negara bebas daripada jenayah tersebut.

Beliau menjelaskan, rasuah sering kali dijadikan alat sama ada untuk mendapatkan kuasa atau menjatuhkan kerajaan, setelah kuasa tersebut diperoleh, pihak yang terbabit akan melupai usaha untuk membanterasnya.

Abu Kassim berkhidmat dengan SPRM mulai tahun 2010 hingga 2016 berkata demikian dalam satu webinar yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini, lapor FMT.

Ditanya tentang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), beliau berkata, sekiranya dilaksanakan, ia akan dapat mewujudkan sebuah pasukan polis yang bersih.

Namun begitu, kata Abu Kassim, pelbagai alasan ‘menyedihkan’ yang diberikan ahli-ahli politik kerana bimbang kesan Suruhanjaya itu terhadap mereka telah menjejaskan usaha untuk penubuhannya.

Beliau tidak mengulas lanjut.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ke arah menambah baik ketelusan dan akauntabiliti pasukan polis yang sarankan pada tahun 2005.

Bagaimanapun, pada bulan Ogos tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional telah membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menggantikan rang undang-undang IPCMC.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here