Oleh Yusoff Ahmad Shariff

HANYA 10 pasukan akan menyertai saingan Liga Premier 2022 berbanding 11 pasukan musim ini setelah Perak FCII tersingkir daripada saingan divisyen kedua Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Jumaat (17 Sept) Perak FC II secara automatik disingkirkan ke saingan Liga M3 selepas ‘Parent Club’ Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Beliau berkata berdasarkan Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team Manual Liga Malaysia, pasukan berstatus ‘Reserve Team’ secara automatik tersingkir daripada pertandingan sekiranya Parent Club mereka jatuh liga.

“Perak FC secara rasmi tersingkir daripada kejohanan Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Premier 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.

“Format Liga Premier sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL juga mengambil maklum dengan pengumuman pembatalan Liga M3 yang dilakukan AFL pada 14 Sept lalu di mana pembatalan kejohanan itu menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan,” jelas Stuart.

Perak FC yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kedua tercorot akan menyertai pasukan di tempat terakhir UiTM FC yang telah disingkirkan ke saingan Liga Premier musim depan.

Ketiadaan Perak FC II bermakna Liga Premier musim 2022 akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN, Perak FC dan UiTM FC.

Dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC mengesahkan kemaraan mereka bertanding dalam kempen Liga Super 2022.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here