An old muslim man worshiping his god and praying afternoon at the door of the mosque on a Sunday day of Ramadan
Photo by Imad Alassiry on Unsplash
Oleh Dr. Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi

ISLAM merupakan agama yang mementingkan perihalan keilmuan. Ini diisyaratkan melalui wahyu pertama yang menganjurkan supaya kita membaca. Firman Allah swt dalam Surah al-Alaq ayat 1 yang bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

Ayat ini memberi isyarat bahawa wacana keilmuan yang dijayakan semestinya berada dalam kondisi keterhubungan dengan Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta. Akal dan fikiran amat berkaitan dengan amalan membaca yakni menuntut ilmu.

Sehubungan dengan itu banyak nas yang memberi motivasi kepada kita untuk memanfaatkan akal dengan sebaik mungkin. Ini dirakamkan di banyak tempat dalam al-Quran, antaranya ‘tidakkah kamu berakal’ ayat 44 Surah al-Baqarah, ‘mudah-mudahan kamu berakal’ ayat 73 Surah al-Baqarah, ‘yang demikian itu benar-benar menjadi tanda bagi kaum yang berakal’ ayat 164 Surah al-Baqarah, ‘sekiranya kalian berakal’ ayat 118 Surah Ali Imran, ‘tidaklah mereka berakal terhadap perumpamaan tersebut melainkan golongan yang berilmu’ ayat 43 Surah al-Ankabut, ‘bahkan kebanyakan daripada mereka tiadalah berakal’ ayat 63 Surah al-Ankabut, ‘tidakkan kalian menjadi golongan yang berakal’ ayat 62 Surah Yasin, ‘yang demikian adalah lantaran mereka itu benar-benar kaum yang tidak berakal’ ayat 14 Surah al-Hasyr.

Pada masa yang sama, Allah SWT turut menegaskan supaya para hambaNya memperbanyakkan tafakkur yakni berfikir dengan mendalam. Ini dinyatakan antaranya dalam ayat 219 Surah al-Baqarah ‘supaya kalian benar-benar berfikir’, ayat 50 Surah al-An’am ‘tidakkah kalian mahu berfikir’, ayat 184 Surah al-A’raf ‘tidakkah mereka mahu memikirkan’ dan banyak lagi.

Bagi mendorong kefungsian akal untuk terus bertafakkur, Allah SWT menjadikan alam buana ini seluruhnya sebagai subjek untuk dibuat pengamatan sehingga menghadirkan makna, yakni untuk bermakrifah kepadaNya. Firman Allah dalam ayat 24 Surah Yunus, ‘Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)’.

Ayat ini senada dengan ayat 3 Surah al-Ra’d. Sorotan terhadap ayat-ayat yang membawa makna kefungsian akal untuk berfikir dan bertafakkur, jelas menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan aspek keilmuan.

Walau bagaimanapun, penggunaan akal manusia ini haruslah diikat dan dipandu dengan sebuah kefahaman yang muktabar supaya ia tidak tersasar daripada landasan pengabdian kepada Allah SWT seterusnya berperanan dengan sewajarnya sebagai khalifah. Kefahaman yang muktabar inilah yang diistilah oleh para cendiakawan Islam sebagai Ilmu Fardhu Ain iaitu Akidah, Fekah dan Tasauf yang menjadi tiga rukun dalam agama Islam.

Ketiga-tiga tunjang agama ini pula hendaklah berdasarkan kepada kefahaman yang muktabar lagi mencapai status majoriti yang dominan (sawad al-a’zam), yang diwarisi zaman berzaman.

Ia mengalami perkembangan dari semasa ke semasa namun tetap kekal dengan prinsip-prinsipnya yang utama dengan sanad dari sudut riwayat (periwayatan), dirayah (kefahaman) dan juga tazkiyah (kerohanian). Selain daripada perbahasan utama yang wajib dipelajari dan difahami oleh setiap mukallaf ini, maka ia dikategorikan sebagai Ilmu Fardhu Kifayah.

Dari sudut hubungan antara kedua-dua kategori ilmu ini, Ilmu Fardhu Kifayah seharusnya diikat dengan Ilmu Fardhu Ain yang berasaskan faham yang muktabar tersebut. Maka dengan itu, pemikiran umat Islam tidak akan tersasar daripada landasannya yang sebenar. Tidak boleh berlaku dikotomi antara kedua-duanya.

Dalam setiap peringkat pengajian, seawal sekolah rendah sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah sekalipun, kedua-dua ilmu ini perlu beriringan malah bersalingan antara satu sama lain. Sebagai muhasabah bersama, didapati Ilmu Fardhu Ain ini semakin terpinggir terutamanya setelah menempuh peringkat menara gading.

Ilmu Fardhu Kifayah sentiasa menjadi buruan, lantaran ia amat dikaitkan dengan aspek kelangsungan kehidupan yang diukur melalui kemenjadian dalam aspek kerjaya dan perolehan pendapatan, berbanding Ilmu Fardhu Ain yang rata-rata memperkirakannya sudah sempurna di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Hakikatnya, perbahasan Ilmu Fardhu Ain di peringkat sekolah masih belum mencukupi, sebaliknya ia perlu diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam, mula memberi fokus kepada Ilmu Fardhu Kifayah dalam lanskap pengajian Islam bahkan terpisah-pisah pula berdasarkan kepada pengkhususan yang pelbagai.

Lebih ketara, pelajar yang mengambil jurusan selain pengajian Islam, seolah-olah sudah tamat pengajian Islam buat mereka setakat di sekolah menengah lantaran tiada lagi subjek berkaitan dengan pengajian Islam yang perlu mereka pelajari.

Pemisahan antara Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah ini ternyata telah membuatkan akal manusia berfalsafah merata-rata tanpa diikat dengan faham asas yang muktabar dalam al-Din al-Islami yakni Ilmu Fardhu Ain.

Keadaan menjadi lebih parah apabila asas Ilmu Fardhu Ain muktabar yang diabaikan ini ditempati pula dengan doktrin-doktrin kefahaman berdasarkan politik kepartian, kumpulan-kumpulan pelbagai aliran dan juga isme-isme dari luar lantaran dunia tanpa sempadan yang dihadapi kini. Kemuncaknya, kehidupan umat amat terfokus kepada keduniaan dan persoalan akhirat kelihatan seperti sampingan.

Dengan kekeliruan keilmuan ini, maka bermulalah gejala cinta dunia yang menjadi pintu kepada segala bentuk keburukan dan ketempangan dalam lakaran tamadun kemanusiaan. Pengkhianatan semakin berleluasa.

Kepimpinan dan jawatan menjadi rebutan atas kapasiti ‘mencari keuntungan’ dan bukan lagi sebagai sebuah amanah. Ranap kepimpinan, maka ranaplah masyarakat. Lebih memilukan, para ulama ramai yang telah dimatikan Allah SWT sehingga akhirnya ilmu akan hilang beransur-ansur.

Keadaan yang fasad (rosak) ini telah diberi isyarat oleh Rasul Junjungan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekali gus dari (dada) manusia.

Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat Muslim).

Walhasil, isu yang dibangkitkan ini boleh bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Pada masa yang sama, atas kapasiti individu seharusnya mengambil inisiatif sendiri dalam ruang lingkup tanggungjawab dalam institusi keluarga masing-masing.

Perihalan cinta dunia yang semakin membarah perlu ditangani dengan tasauf amali dalam latihan kerohanian di bawah bimbingan para mursyid yang berautoriti. Pengajian Ilmu Fardhu Ain yang mungkin agak dikesampingkan dalam sistem pendidikan arus perdana, perlu ditampung dengan memanfaatkan pusat-pusat pengajian persendirian seperti Ruwaq Jawi, Akademi Pengajian Turath, Zawiyah Nasiriyyah dan banyak lagi.

Kalau tuisyen untuk tujuan peperiksaan utama kita sanggup bergolok bergadai demi memastikan kejayaan duniawi anak-anak, maka mengapa tindakan yang sama tidak kita lakukan dalam memastikan kesejahteraan akhirat kita semua dengan mengikuti pengajian-pengajian Fardhu Ain ini?

Tidakkan bagi orang yang berakal akan sentiasa mendahulukan keabadian akhirat berbanding dunia yang sementara? Maka, pedoman wahyu pertama yang disinggul pada awal artikel ini sewajarnya dijadikan penumpuan akal dan pemikiran kita semua.

Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah perlu diadun secara bersepadu sehingga menatijahkan suatu keterhubungan dengan Khaliq supaya ‘kesedaran bertuhan’ sentiasa memandu kita dalam segenap aspek kehidupan.

 

DR. AHMAD FAKHRURRAZI MOHAMMED ZABIDI

*Dr. Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here