ANTARA aksi perlawanan amal Veteran Nusantara PBMM-Pilihan Bekas Pemain Kuala Lumpur. - Foto PBMM

SATU perlawanan bola sepak amal persahabatan dilangsungkan semalam bagi mengenang jasa dan membantu bekas pemain negara dan Selangor, Zulkifli Norbit yang terlantar sakit strok.

Sayap kiri handalan era 60-an hingga 70-an yang kini berusia 75 tahun itu dilaporkan berkeadaan begitu di rumahnya di Ampang, Selangor sejak 6 Ogos lalu.

Zulkifli membantu Selangor menjulang Piala Malaysia lima kali selain menganggotai skuad juara Pestabola Merdeka 1968 dan pemenang pingat gangsa Sukan SEAP Rangoon 1969 bersama Malaysia.

Pasukan Pilihan Bekas Pemain Kuala Lumpur menewaskan Veteran Nusantara Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) 4-1 dalam perlawanan di Stadium Mindef, Kuala Lumpur itu, lapor laman Facebook rasmi persatuan.

Veteran Nusantara PBMM diterajui Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Datuk Ramlan Askolani, bekas tonggak Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia tiga kali dari 1987 hingga 1989, mengetuai pasukan lawan.

Turut beraksi dalam perlawanan ialah beberapa bekas bintang kebangsaan antaranya Nizaruddin Yusof dan Shahrin Majid.

Perlawanan amal ini juga dihadiri Datuk Iskandar A. Samad, Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Selangor yang kemudiannya menyerahkan sumbangan wang kepada anak Zulkifli, Nor Afandi Zulkifli.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here