family, divorce, separation
Photo by geralt on Pixabay

ALLAH SWT mencipta manusia berpasangan dan saling tertarik antara satu sama lain. Tarikan ini mendorong pasangan mendirikan rumah tangga bahagia bersama pasangan masing-masing. Bahkan setiap agama dalam dunia ini meraikan cinta dengan upacara pernikahan yang diterima sebagai suatu ikatan suci antara dua insan yang berlainan jantina bagi kelestarian sebuah kehidupan berkeluarga.

Pasangan suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain dan melengkapi kekosongan ruang di hati. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan antara kekuasaanNya menciptakan untuk kamu dari diri kamu pasangan supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (isteri), lantas menciptakan di antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang, sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar tanda bagi kaum yang berfikir (Surah Al-Rum: Ayat 21)

Namun apa yang menyedihkan sejak akhir-akhir ini, akhbar tempatan melaporkan jumlah kes perceraian naik secara mendadak dalam tempoh PKP dan Johor telah mencatatkan bilangan tertinggi. Persoalannya bukan faktor lokasi atau negeri tetapi kenapa kasih sayang dan cinta berahi tiba-tiba boleh hilang dan pasangan bertukar menjadi insan yang dibenci dan tidak lagi boleh berkongsi.

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi keputusan untuk berpisah dan menamatkan hubungan suami isteri. Antaranya pengabaian nafkah, campur tangan orang ketiga sama ada ahli keluarga terdekat maupun suku sakat, kepincangan komunikasi pasangan yang mengakibatkan tiada persefahaman, pengabaian tanggungjawab pasangan samada suami ataupun isteri, penderaan fizikal dan mental, tekanan emosi dan penagihan dadah.

Bagaimana faktor ini boleh muncul selepas kedua-dua pasangan telah nekad mendirikan rumahtangga, bersetuju sehidup semati dan berjanji mengharungi susah senang kehidupan berumahtangga bersama-sama? Malah tiada pasangan yang memasang niat untuk bercerai pada saat ijab kabul dimeterai dan ke mana hilangnya kebahagiaan yang diraikan?

Setiap pasangan perlu muhasabah diri dan memperbaiki hubungan yang “terkoyak”. Ia perlu “dijahit” dengan segera dan tidak dibiarkan terus retak menunggu belah. Apa yang perlu dilakukan oleh pasangan yang sedang berkrisis ada tiga fasa:

Fasa Pertama: Tempoh bertenang dan dekatkan diri dengan Tuhan. Tempoh bertenang mendambakan kesabaran dan fikiran yang tenang. Ketenangan akan dicapai dengan menyebut nama Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bukankah dengan menyebut nama Allah itu menenangkan hati-hati (al-Ra`d: Ayat 28).

Setiap pasangan suami dan isteri akan menghadapi saat manis, masam, masin, pahit, dan tawar dalam kehidupan. Kemanisan gula yang berlebihan tidak semestinya menyihatkan, manakala kemasaman asam pedas jadi kegemaran, adakala masakan menjadi hambar tanpa sedikit kemasinan garam, sesekali kepahitan ubat itu menyembuhkan, dan biskut tawar dicari untuk dicicah dengan kopi. Hakikat kehidupan yang perlu disedari dan diterima oleh hati dan aqli. Setiap penyakit ada ubatnya dan setiap masalah ada jalan penyelesaian yang membutuhkan kematangan.

Perceraian bukan solusi terbaik apatah lagi apabila ia meruntuhkan institusi sebuah keluarga yang harmoni. Ia bukan sekadar melibatkan pasangan suami isteri tetapi anak-anak malah seluruh keluarga. Impak perceraian lebih besar berbanding manfaat yang dicapai. Seandainya masalah kewangan yang dihadapi diselesaikan dengan perceraian, nescaya suami akan terperangkap dengan hutang nafkah sebelum dan selepas perceraian manakala isteri pula akan menanggung keperitan perbelanjaan bagi menyara diri dan anak-anak yang diabaikan suami.

Cara yang terbaik adalah kerjasama kedua-dua pasangan mencari nafkah yang halal dengan cara yang pelbagai dan kreatif membina kerja dalam tempoh pandemik. Pelbagai bantuan kerajaan boleh dijadikan modal dalam menambah hasil pendapatan keluarga dengan berniaga atas talian atau media sosial kejiranan.

Fasa kedua: berdamai dan meminta maaf kepada pasangan. Fasa ini penting dan signifikan dalam perhubungan sesama manusia. Perkataan “maaf” akan menyejukkan hati pasangan yang telah tenang selepas mendekatkan diri kepada Tuhan. Sebaliknya kalimah tersebut adakalanya bagai debu di angin lalu jika diucapkan kepada pasangan yang masih dalam keadaan marah dan tegang.

Pemilihan waktu yang tepat untuk meminta maaf juga penting agar ia lebih memberi kesan dan memulihkan keadaan yang membinasakan. Budaya meminta maaf dengan iringan hadiah dan memaafkan amat tinggi nilai akhlaknya. Sebagaimana maksud sabda Nabi SAW: saling memberi hadiah nescaya kamu saling mencintai. Hadiah tidak terhad kepada barangan yang bernilai tinggi.

Sedikit usaha untuk menghadiahkan senyuman dan kata-kata yang baik serta pujian, lebih baik daripada barangan yang mahal tetapi disusuli dengan kata-kata yang menyakitkan. Namun jika mampu membelikan hadiah yang bernilai disusuli dengan senyuman yang manis serta kata-kata yang baik, itu adalah bonus berganda.

Fasa ketiga: memperbaiki diri dan memulakan kembali hubungan yang baik walaupun berkali-kali. Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Namun yang paling baik dalam kalangan mereka adalah mereka yang bertaubat. Orang yang bertaubat bersih seolah-olah bayi baru lahir. Begitu juga dengan pasangan suami isteri yang berkrisis.

Mereka perlu muhasabah diri dan mencari punca masalah dan berbincang untuk mengatasi dan mencari solusi. Jika masalah komunikasi yang menjadi punca, ia boleh dipelajari di hujung jari. Klik sahaja ayat-ayat cinta dan tiru untuk diucapkan kepada pasangan yang berhak dan gembira mendengarnya. Walau bagaimanapun, krisis adakalanya menyumbang kepada kebuntuan pasangan mencari solusi.

Justeru pasangan suami isteri yang berkrisis amat perlukan sokongan keluarga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: seandainya kamu khuatiri pertengkaran [yang boleh membawa perceraian] di antara mereka berdua (suami dan isteri), maka lantik wakil daripada kedua-dua belah keluarga sebagai orang tengah, dan jika wakil mereka menginginkan perdamaian nescaya Allah SWT akan menjadikan kedua-duanya (suami isteri) berpakat, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Mendalam PengetahuanNya (Surah al-Nisa: Ayat 35)

Selain daripada wakil dari keluarga pasangan yang berkrisis, antara pihak yang penting dalam mempengaruhi minda masyarakat selain daripada penceramah agama dan motivasi adalah penulis skrip drama, penggubah lagu dan penulis novel. Mereka boleh mainkan peranan yang efekif dalam menasihati pasangan muda-mudi maupun veteran yang suka kepada hiburan dalam bentuk lagu misalnya. Sebagai contoh, lagu P.Ramlee dan Saloma bagi pasangan veteran, lagu yang penuh dengan nasihat berguna dan sesuai sepanjang masa:

Sedangkan lidah lagi tergigit
Apa pula suami isteri
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Apa guna kita bertengkar
Suami isteri harus bersabar
Kasih Sayang rukun dan damai
Hidup seperti dalam mahligai
Maaf hamba wahai dinda
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Suami isteri mesti berpakat
Rumah tangga mendapat berkat
Apa guna selisih faham
Kalau ingin aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Jika diteliti lirik lagu di atas ia seiring dengan nasihat Baginda Rasulullah SAW dalam memilih pasangan agar mengutamakan faktor agama yang menjadi asas kukuh pembinaan akhlak dan keperibadian insan perlu dipertimbangkan oleh bakal pengantin dan keluarga.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here