📍 South Korea, Jumunjin beach BTS BUS STOP
Photo by Jay Ee on Unsplash

SYARIAH Islam bukan hanya mengiktiraf kesucian harta awam tetapi juga memberi amaran supaya umatnya tidak diambil tanpa hak, bahkan hukuman berat kepada sesiapa yang mengambil harta tersebut untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain tanpa hak.

Malah, syariah Islam juga mendidik akhlak setiap Muslim agar dia mempunyai kawalan dalaman yang menghalangnya daripada dimanipulasikan oleh nafsu dan juga pengaruh syaitan hingga terdorong untuk menyalahguna atau mengambil hak atau mencuri harta awam.

Peringatan keras terhadap pengkhianatan sedemikian banyak teks dinyatakan al-Quran dan hadis Nabi. Selain itu, Islam juga menggunakan kaedah tarbiah bagi menghalang mereka yang terliur kepada harta benda awam daripada mengambilnya.

Islam sangat prihatin terhadap pemupukan nilai penjagaan harta benda awam. Usaha ini dilakukan dari hati sanubari manusia kerana Islam ingin seseorang itu sendiri menjadi pengawas terhadap dirinya dengan membetulkan tindak tanduk diri sendiri sebelum menghakimi orang lain dan mengambil kira akibat yang akan ditanggung sebelum sesuatu kerja atau tindakan dilakukan.

Islam ingin mencapai matlamat tersebut dengan melahirkan seseorang Muslim yang sedar Tuhan Yang Maha Kuasa sentiasa memperhatikannya pada setiap masa dan tempat setiap kali dia membulatkan kasad untuk melakukan sesuatu atau membatalkan niat untuk melaksanakannya.

Dalam surah Yunus ayat 61 Allah SWT menyatakan Dia SWT melihat segala yang dikerjakan oleh hamba-Nya. Tidak sekali-kali akan hilang lenyap daripada pengetahuan Allah sesuatu pun sama ada ia sekecil-kecil benda atau sebesar-besar perkara.

Sekiranya matlamat ini tercapai maka seseorang itu tidak perlu lagi diawasi oleh masyarakat. Lain pulalah ceritanya kalau dia tidak tahu atau tahu tetapi sengaja tidak mengendahkan ajaran agama juga mengabaikan pengawasan Penciptanya. Tatkala itu dia patutlah diawasi melalui pelbagai cara lain.

Apabila seseorang berjaya memupuk nilai menjaga harta benda awam dalam dirinya dan meyakini pengkhianatan merupakan kesalahan yang sangat berat maka sudah tentu keyakinan ini menjadi sebaik-baik pengawal kepada dirinya. Dari itu, dia sekali-kali tidak akan merosakkan harta awam atau merompak harta rakyat.

Antara cara yang digunakan oleh Islam untuk menanam nilai kepentingan menjaga harta benda awam ialah:
1. Islam mewajibkan penganutnya mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui ibadah yang tidak lain tidak bukan ialah cara untuk mendidik akhlak, memurnikan hati nurani serta menghubungkan mereka dengan Tuhan pada setiap waktu.

Di samping itu Islam menjadikan perilaku dan cara berinteraksi seseorang individu Muslim dengan orang lain sebagai bukti keberkesanan ibadat yang dilaksanakan olehnya. Sebagai contoh, solat yang didirikan dengan sempurna itu peranannya mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Jadi, matlamat ibadat adalah untuk membersihkan jiwa, meneguhkan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa seterusnya mematuhi perintah-Nya dalam setiap dimensi termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan aset kerajaan dan wang rakyat.

2. Islam menyemai dan memupuk sifat amanah dalam hati setiap Muslim dengan pelbagai cara; dengan memberi galakan dan motivasi juga dengan mengintimidasi atau menakut-nakutkan seseorang yang tidak bersifat amanah serta menafikan kesempurnaan iman dan Islam daripada mereka.

Lantaran itu kita dapati al-Quran mengaitkan sifat amanah dengan iman. Sebagai contoh, sifat amanah disebut sebagai sifat orang Mukmin dalam surah al-Mu’minun ayat 8 dan surah al-Ma`arij ayat 32 dengan maksud firman Allah: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” Hadis sahih pula mengatakan: “Tidak sempurna iman orang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama orang yang tidak menyempurnakan janjinya.”

Yang lebih menakutkan Junjungan Besar SAW memasukkan orang yang tidak amanah dalam kategori Munafik melalui sabda dalam Sahih al-Bukhari: “Tanda orang munafik itu ada tiga: “Jika berbicara dia berbohong, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianati”.

Seorang Muslim sudah tentu sentiasa berusaha untuk mendapatkan sifat amanah yang menjadi tanda kesempurnaan iman dan menjauhi sifat khianat yang menjadi salah satu pelengkap kepada peribadi seorang Munafik.

3. Islam memerangi sifat khianat dalam segala bentuk. Dalam surah al-Anfal ayat 27 Allah melarang mengkhianati-Nya dan Rasul-Nya serta mengkhianati amanah sesama Mukminin, ayat 58 pula menegaskan Allah SWT tidak suka kepada orang yang khianat.

Islam juga memberi amaran keras kepada orang yang korup dengan mengatakan “sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu”, surah Ali `Imran ayat 161. Rasulullah SAW juga menjelaskan hal ini dengan sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kami serahkan tugas kepadanya, lalu ia menyembunyikan jarum atau yang lebih besar daripada itu maka perbuatan itu dikira perbuatan korupsi. Pada hari kiamat kelak dia akan datang dengan membawa barang yang diambil olehnya tanpa kebenaran itu.”

Ini semua kerana Islam ingin seorang Muslim sentiasa ingat kepada Allah dan berhati-hati dalam segala tindakannya. Islam meletakkan amanah sebagai sifat yang berkait rapat dengan iman dan khianat pula sifat yang bertentangan dengannya. Islam juga memberi amaran keras kepada mereka yang menggelapkan wang atau harta orang awam walaupun sedikit.

Pemupukan akhlak Islam perlu kepada tarbiah dan kewajiban tarbiah ini seharusnya bermula dalam keluarga dan diikuti oleh institusi pendidikan yang juga memainkan peranan besar. Yang lebih penting daripada itu ialah suri teladan yang diperlihatkan oleh pegawai, pekerja, sukarelawan dan semua yang terlibat secara langsung dengan pengurusan harta dan wang di jabatan, agensi, persatuan atau pertubuhan masing-masing.

Suri teladan yang baik ini ditunjukkan oleh Sayidina Umar al-Khattab ketika beliau memuji kaum Muslimin yang menghantar harta rampasan perang al-Qadisiyyah yang sangat banyak dengan katanya: “Sesungguhnya orang yang melaksanakan tugas ini merupakan orang yang sangat amanah.” Lalu dibalas oleh Sayidina Ali dengan ungkapan yang sangat memotivasikan: “Tuan hamba menjaga maruah dan kehormatan kerana itulah mereka juga menjaga maruah. Andainya tuan hamba suka berfoya-foya nescaya pengikut tuan hamba akan berfoya-foya juga.”

Suri teladan seperti ini sangat penting ditonjolkan dalam masyarakat agar ia menjadi ikutan kepada semua sehinggalah sifat amanah mendarah daging dengan setiap Muslim.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here