Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin mengambil masa dua bulan saja untuk menjadikan hubungan mereka terus kekal sebagai pasangan suami isteri.

Oleh Khadijah Ibrahim

TAK perlu kecoh-kecoh di media sosial meuarkan-uarkan yang diri sedang bercinta bagai nak rak seperti pasangan lain. Sebaliknya, penyanyi Zizi Kirana dan pasangannya, pelakon Yusuf Bahrin lebih senang mengambil pendekatan, menyegerakan perkara wajib dulu.

Hari ini (19 September 2021) kira-kira pukul 10.45 pagi, Zizi Kirana dan Yusuf selamat bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz. Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Kuala Lumpur iaitu Murshid Abd. Hamid berwakil walikan bapa Zizi, Mad Tahil.

Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan hanya dihadiri keluarga terdekat saja.

Pada majlis tersebut, penyanyi lagu Eh itu menerima mas kahwin RM300 bersama senaskhah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, sementara wang hantaran tidak didedahkan.

Zizi, 36, dan Yusuf, 29, mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan Datuk Alha Alfa pula bertanggungjawab menata rias penampilan pengantin perempuan dan Chomel pula mendandan Yusuf.

Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin mendapat tarikh dan lokasi nikah dalam waktu yang singkat saja

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami selamat diijabkabul dengan sekali lafaz. Terima kasih untuk doa dari keluarga, sahabat dan kalian semua. Semoga Allah memberkati kita semua,” tulis Zizi dan Yusuf dalam Instagram masing-masing.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah, Jumaat lepas baru mereka mendapat tarikh dan lokasi untuk bernikah, semuanya dilakukan pada saat-saat akhir.

Mereka yang berkenalan sewaktu program All Together Now Malaysia (ATNMY) pada awal tahun ini dan mula serius sejak dua bulan lalu, bagaimanapun bercadang untuk mengadakan majlis resepsi di Sabah dan Melaka, kampung Yusuf, Disember nanti.

Rahsia percintaan antara Zizi dan Yusuf mula dihidu peminat selepas pelakon itu tersasul memanggil Zizi sayang sewaktu siaran langsung Instagram antara mereka berdua.

Pasangan tersebut juga tidak bercadang untuk pergi berbulan madu dalam waktu terdekat, sebaliknya merancang untuk pergi menunaikan umrah bersama apabila diizinkan. Mereka juga tidak menolak jika dikurniakan rezeki cahaya mata dalam waktu terdekat.

Ramai rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu itu, antaranya Fazura, Wawa Zainal, Shiha Zikir, Amyra Rosli, Hafiz Hamidun dan Haiza Hanafi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here