Jalaluddin Alias menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias

KEBANYAKAN Badan Bukan Kerajaan atau NGO khususnya yang berada di Lembah Klang, bergerak aktif dalam membantu kumpulan gelandangan terutamanya dalam inisiatif pemberian makanan.

Selain miskin tegar dan golongan B40, kumpulan gelandangan di bandar-bandar besar sebegini menjadi tumpuan kepada mereka yang berhati mulia dalam memberi sumbangan makanan dan minuman, terutama NGO.

Khidmat dan peranan yang dimainkan oleh NGO dalam mengurangkan beban hidup gelandangan ini wajar dipuji dan mendapat pengiktirafan atas dasar keprihatinan sesama manusia.

Bak kata pepatah “tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima”. Justeru, saya sedar bahawa badan-badan NGO ini mengambil cabaran dan peluang sebegini untuk sama-sama merealisasikan harapan dalam membantu golongan gelandangan khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Saya percaya bahawa Badan-badan NGO, syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan memiliki niat yang murni untuk melihat kumpulan gelandangan ini tidak kebuluran di kota metropolitan kita.

Walau bagaimanapun, secara tidak sedar kita sudah mencipta beberapa masalah sampingan terhadap nilai kemanusiaan dan kesejahteraan di bandar negara ini. Antara masalah dan cabaran yang sering berlaku adalah keadaan bandaraya yang semakin kotor. Manakala koridor bangunan serta laluan pejalan kaki dijadikan tempat perlindungan diri dan berteduh.

Selain itu, keadaan ini juga mengganggu tahap kesihatan sejagat sehingga mengakibatkan risiko penularan wabak-wabak berbahaya dan berjangkit seperti COVID19, Denggi, Taun, Penyakit Tuberculosis (TB) dan pelbagai lagi.

Lebih merisaukan, keadaan tempat tinggal yang tidak selesa dan tidak bersih boleh mengakibatkan berlakunya masalah mental dalam kalangan kumpulan gelandangan ini. Kita tidak boleh membiarkan mereka berterusan menjadi gelandangan. Mereka ini perlu dibantu untuk keluar dari “zon selesa” yang mereka “cipta” sendiri, dan pastinya pelbagai NGO mempunyai peranan untuk membantu menjayakan hasrat kerajaan ini.

Antara langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan menyalurkan bantuan makanan ke beberapa tempat yang telah dikhususkan, bagi memudahkan proses kawal selia dan pengurusan gelandangan.

Dalam masa terdekat ini juga, saya merancang untuk mengadakan satu sesi town hall bersama semua NGO yang aktif membantu kumpulan gelandangan bagi mencari satu solusi atau kaedah terbaik membantu mereka ini.

Justeru, saya mengharapkan bantuan dan sokongan NGO serta pihak-pihak tertentu agar konsisten meneruskan usaha membantu kumpulan gelandangan seperti yang kalian telah amalkan selama ini.

Bagi melancarkan lagi usaha sama ini, saya mengharapkan agar segala pertolongan atau bantuan disalurkan ke pusat-pusat gelandangan yang telah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebagai contoh di Medan Tuanku, Anjung Singgah, dan Pusat Transit Gelandangan. Percayalah, platform yang telah disediakan ini adalah jauh lebih baik berbanding dengan keadaan dan amalan kita selama ini.

Ayuh sama-sama kita betulkan yang biasa, biasakan yang betul! Kita semua ingin membantu gelandangan, tapi biarlah bantuan yang kita berikan ini boleh menjadi satu titik tolak dalam perubahan kehidupan yang lebih baik buat mereka.

– BebasNews

Datuk Seri Jalaluddin Alias merupakanTimbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here