KUALA LUMPUR – Sebuah badan di United Kingdom, UK National Contact Point (UK NCP) bersetuju menerima aduan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan UNI Global Union berkaitan layanan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) kepada pekerjanya.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, aduan terhadap HSBC dibuat berkaitan pelanggaran beberapa artikel tertentu termasuk Bab V Garis Panduan (Hubungan Pekerjaan dan Industri).

Katanya, HSBC gagal menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif ditandatangani di Malaysia.

Beliau menambah, NUBE menyambut baik keputusan yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP.

“NUBE dan Uni Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP. Kami juga optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan para pekerja bank di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini (19 September).

Menurutnya, UK NCP dalam kenyataan mengenai keputusan mereka pada pada 15 September lalu, menyatakan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE dan Uni Global Union mengenai HSBC sebagai sah dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.

“NUBE dengan sokongan Uni Global Union telah memfailkan aduan secara rasmi mengenai HSBC, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, di UK National Contact Point (UK NCP) bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020,” katanya.

UK National Contact merupakan sebahagian daripada Jabatan Perdagangan Antarabangsa.

Ia bertanggungjawab mempromosi garis panduan tanggungjawab menjalankan perniagaan OECD untuk syarikat multinasional serta mempunyai mekanisma aduan bagi pematuhan garis panduan itu.

Menurut Solomon, HSBC melanggar enam garis panduan ditetapkan termasuk sengaja melewatkan proses rundingan dan menghalang wakil kesatuan sekerja memasuki tempat kerja.

“HSBC juga didakwa telah melakukan proses penyumberan keluar kerja termasuk memaksa Skim Pemisahan Sukarela (VSS)/MSS dan gagal berunding dengan NUBE sebelum proses dilaksanakan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya terpaksa membawa isu kepada perhatian UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan gagal mencari penyelesaian membina sejak bertahun-tahun lamanya.

“Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.

“NUBE berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh Uni Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan kami dan keputusannya untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaian,” katanya

Pada Julai lepas, NUBE membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Stuart Milne atas keputusannya membuang pekerja ketika pandemik.

Dalam maklum balas, HSBC berkata, ia sedang melakukan pembaharuan dalaman bank yang akan melibatkan pembentukan lebih 200 penjawatan baharu bagi memenuhi perkembangan industri perbankan.

Ini termasuklah memindahkan kakitangan sedia ada kepada jawatan dan peranan baharu.

Dalam usaha menggerakkan pembaharuan itu, HSBC berkata ia menawarkan VSS kepada beberapa kumpulan kakitangan sekiranya proses penukaran peranan dan jawatan tidak dapat dilakukan.

KENYATAAN MEDIA NUBE UK NCP BM 19 SEPT 21

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here