Oleh Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid

SEJARAH umat Islam selama 1400 tahun lalu, menyaksikan pelbagai peristiwa besar telah berlaku. Oleh sebab umat Islam kini tidak banyak didedahkan dengan peristiwa bersejarah itu, kadangkala ia menyebabkan timbul kegusaran dalam diri apabila mereka berdepan dengan sesuatu petaka khususnya wabak covid-19.

Antara hikmah di sebalik wabak covid-19 yang melanda kita ialah terhentinya beberapa rukun agama seperti solat jumaat, solat hari raya, ibadah haji dan banyak lagi.

Sebenarnya apa yang berlaku pada hari ini juga turut berlaku sebanyak empat kali dalam sejarah Islam, ketika wabak penyakit taun menyerang negara Islam pastinya ketika itu apa yang sedang kita lalui juga berlaku, tiada lagi solat jumaat, solat berjemaah dan juga terdapat larangan menunaikan haji.

Pastinya umat Islam dapat keluar dari cengkaman wabak itu, untuk mereka mengerakkan kembali jentera ekonomi yang terhenti sekian lama memerlukan suatu penilaian semula terhadap kos dan pendekatan, ini termasuklah kos menunaikan ibadah haji.

Mungkin kefahaman umat Islam di Malaysia lebih tertumpu kepada penyempurnaan ibadah peribadi seperti solat, baca Quran, puasa dan naik haji berbanding melakukan kebaikan lain, maka masyarakat merasa resah kerana mereka tidak dapat menunaikan ibadah tersebut khususnya ibadah haji.

Pada hemat mereka, jika seseorang itu mati tanpa ‘naik haji’ maka keislaman mereka tidak sempurna. Mereka akan marah jika keinginan berkenaan terhalang dan kekadang obsesi mereka berbuat demikian mendorong mereka tidak merasa bersalah melakukan dosa mencuri giliran orang lain asalkan mereka dapat ‘naik haji’.

Dengan senyum lebar dan tanpa rasa bersalah mereka menarik nafas lega dan berkata “alhamdulillah, akhirnya dapat juga naik haji”. Disebabkan keghairahan itu ada setengah pihak mengambil kesempatan untuk mendapat beberapa keuntungan sama ada keuntungan politik, kewangan dan moral.

Jika kita perhatikan sejarah pelaksanaan haji di sepanjang sejarah Islam, terdapat beberapa ketika kota Mekah sunyi dan ibadah haji ditangguhkan khususnya ketika kaum Qaramitah menawan kota Mekah dan mencuri batu hitam Kaabah. Umat Islam memulau pelaksanaan haji kerana kezaliman penguasa kota Mekah pada ketika itu.

Pastinya pada ketika itu terdapat umat Islam yang meninggal dunia tanpa mengerjakan haji? Adakah mereka tidak akan masuk syurga kerana tidak lengkap rukun Islam? Untuk mengelak kekeliruan itu, kita harus melihat kembali status ibadah haji seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.

Ia hanya wajib ke atas mereka yang mampu sahaja bukan kepada semua orang. Firman Allah “Allah mewajibkan ke atas manusia (muslimin) menunaikan haji bagi mereka yang mampu”. (Ali Imaran, 3:97)

Para ahli sejarah Islam mencatatkan selama 40 kali ibadah haji ditangguhkan oleh sebab-sebab wabak, politik, kos haji yang meningkat, peperangan dan ancaman perjalanan. Itu semua menunjukkan bahawa pernah berlaku dalam sejarah di mana umat Islam tidak pergi menunaikan haji, namun mereka dapat menerimanya dengan hati yang terbuka kerana mereka memahami bahawa kewajipan haji terikat dengan “kemampuan”.

Para ulama menghurai pengertian kemampuan menunaikan haji kepada 3 perkara; (1) kos haji termasuk perjalanan, penginapan dan makanan serta tanggungan keluarga yang ditinggalkan, (2) kesihatan tubuh badan, (3) aman perjalanan.

Untuk memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sempurna, kerajaan negara umat Islam telah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, antara usaha itu ialah memberi pinjaman haji, mewujudkan tabung urusan haji dan di Malaysia pula ditubuhkan Tabung Haji bagi membantu merealisasikan hasrat umat Islam untuk menunaikan fardu haji.

Pada tahun 1982, setelah kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kouta haji berbeza mengikut bilangan umat Islam di negara masing-masing, bertambah satu lagi ukuran kemampuan dalam pelaksanaan haji ialah mendapat visa atau kuota haji.

Bantuan yang diberikan oleh TH kepada para pendeposit atau oleh kerajaan kepada umat Islam yang ingin menunaikan haji bukanlah suatu kewajipan hakiki yang harus dipikul oleh kerajaan atau Tabung Haji.

Dengan kenaikkan kos haji yang berlipat ganda, bilangan umat Islam yang mendaftar untuk naik haji, keuntungan perniagaan TH yang tidak menentu dalam kesuraman ekonomi global, pastinya kos bantuan akan menurun dan lebihan kos itu harus ditanggung bersama oleh pendeposit.

Sudah sampai masanya beberapa perkara berkaitan dengan kemampuan menunaikan haji dilihat semula oleh umat Islam dalam bentuk yang lebih luas dan adil buat semua.

Bagi setiap individu muslim pastinya hasrat untuk menyempurnakan ibadah haji adalah salah satu keutamaan hidup beragama, adalah wajar jika kita berusaha dengan segala cara yang ada untuk menyempurnakannya.

Walaupun begitu, kita juga harus sedar bahawa kewajipan itu disertakan dengan syarat “kemampuan”. Seperkara yang menyedihkan terdapat segelintir umat Islam yang gemar untuk menunaikan haji berkali-kali dengan alasan untuk mendapat pahala yang besar, walaupun alasan itu ada benarnya namun antara kesan buruk terhadap orang lain yang ingin naik haji ialah mereka akan kehilangan peluang naik haji seumur hidup dan juga menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk di tanah suci Mekah.

Bagi pihak kerajaan pula, pengurusan TH haruslah diurus tadbir dengan baik kerana ia adalah simpanan yang dibuat oleh umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab agama.

Membantu umat Islam dengan menawarkan pelbagai kemudahan seperti keuntungan pelaburan TH yang baik, skim ‘haji junior’, mengutamakan golongan tua dan berpenyakit untuk mendapat kouta, penyediaan restoran dan tempat tinggal serta pengangkutan yang baik semasa di tanah suci merupakan suatu usaha yang sekian lama dilakukan oleh kerajaan dan masih perlu kepada beberapa penambahbaikan.

Sebagai umat Islam yang memahami akan maksud dan kefarduan haji, kita tidak seharusnya melemparkan beban haji hanya kepada TH dan kita juga tidak harus merasa terkilan jika giliran kita untuk menunaikan haji masih belum tiba kerana itu semua adalah perancangan Allah yang maha berkuasa.

Apa yang penting kita lakukan adalah membuka akaun TH, membuat simpanan yang cukup untuk kos haji, wang nafkah kepada anak-anak yang masih di bawah saraan kita, menjaga kesihatan tubuh badan, mengikuti kursus haji dan berdoa agar giliran kita tiba untuk pergi sebagai tetamu Allah di kota Makkah dan Madinah.

Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid

Dr Ahmad Faisal bin Abdul Hamid merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam APIUM

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here